PETALING JAYA: Pasaran modal memainkan peranan penting dalam menyokong fasa pertumbuhan baharu industri semikonduktor Malaysia ketika negara berusaha merebut peluang daripada penyusunan semula rantaian bekalan semikonduktor global.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, fasa pertumbuhan seterusnya memerlukan tiga bentuk modal kritikal iaitu modal mendalam, modal pintar dan modal strategik bagi menyokong syarikat melabur dalam inovasi, teknologi, bakat serta keupayaan, selain memperkukuh daya saing di peringkat global.
“Lonjakan seterusnya dalam industri semikonduktor tidak boleh dicapai oleh kerajaan, industri atau pelabur secara bersendirian.
“Kejayaan memerlukan kerjasama, termasuk pelabur dan pasaran modal menyediakan modal jangka panjang yang diperlukan untuk mengubah syarikat berpotensi menjadi peneraju global.
“Dengan sokongan inisiatif berterusan kerajaan, industri semikonduktor kini bergerak melangkaui aktiviti pemasangan dan pengujian kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti pembungkusan cip termaju bagi kecerdasan buatan (AI), pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Siri Sektor Semikonduktor Bursa Malaysia-CLSA yang diadakan baru-baru ini.
Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan Malaysia menguasai tujuh peratus pasaran pembungkusan termaju global menjelang 2035.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, ekosistem pasaran modal yang kukuh penting bagi membantu syarikat inovatif mendapatkan modal jangka panjang, meluaskan penyertaan pelabur dan meningkatkan keterlihatan pasaran ketika Malaysia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
“Bursa Malaysia kini mempunyai 52 syarikat teknologi dengan jumlah permodalan pasaran hampir RM100 bilion setakat Jun 2026.
“Melalui inisiatif seperti MY Value Up, Bursa RISE+ dan Invest Malaysia, kami terus memperkukuh penglibatan pelabur, meningkatkan keterlihatan pasaran dan menyokong syarikat sepanjang perjalanan pertumbuhan mereka.
“Seiring perkembangan industri semikonduktor Malaysia, kami kekal komited untuk memperkukuh ekosistem pasaran modal bagi menyokong pertumbuhan industri dan aspirasi Malaysia membangunkan syarikat teknologi yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Siri sektor berkenaan dianjurkan Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA Securities Malaysia Sdn. Bhd. (CLSA Malaysia) bertemakan “Lonjakan Semikonduktor Malaysia Seterusnya: Mempertingkat Rantaian Nilai Semikonduktor”.
Dalam pada itu, Ketua CLSA Malaysia, Joe Liew berkata, sektor semikonduktor Malaysia sedang memasuki fasa baharu yang membuka peluang kepada syarikat dan pelabur.
“Melalui kerjasama kami dengan Bursa Malaysia, perbincangan ini mengetengahkan kekuatan Malaysia yang semakin berkembang dalam bidang teknologi dan semikonduktor, perubahan dinamik landskap semikonduktor global serta kepentingan menghubungkan syarikat dengan pelabur bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Kami kekal komited untuk mengetengahkan keupayaan penyelidikan global CLSA Malaysia, mengenal pasti perkembangan terkini, memperkasa pembuat keputusan untuk terus mendahului trend industri, merebut peluang baharu dan mengukuhkan hubungan antara pakar industri dengan pelabur,” katanya. – UTUSAN






