PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dijangka mencatatkan pendapatan teras RM72 juta hingga RM75 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026, meningkat 7.0 hingga 12 peratus tahun ke tahun, menjadikan pendapatan teras separuh pertama 2026 sekitar RM140 juta hingga RM143 juta.
Penganalisis UOBKayHian, Ng Jo Yee berkata, prestasi itu dijangka berada pada landasan tepat, mewakili 49 hingga 50 peratus daripada unjuran pendapatan setahun penuh firma itu.
“Kami menjangkakan tekanan kos kekal terkawal, disokong oleh kawalan kos yang lebih ketat, peruntukan kontingensi dalam bajet projek serta keupayaan syarikat berunding dengan kontraktor berikutan aliran projek yang stabil.
“Selain itu, Projek M Zenya di Kepong mencapai peringkat struktur tertinggi pada Julai 2026 dan dijangka siap pada suku pertama 2027, kira-kira tiga tahun selepas dilancarkan serta 13 bulan lebih awal berbanding jadual asal.
“Ia menyusuli kejayaan M Astra di Setapak yang siap pada Januari 2026, juga sekitar tiga tahun selepas pelancaran dan 15 bulan lebih awal daripada jadual.
“Kedua-dua projek itu pada asalnya dijadualkan siap dalam tempoh kira-kira empat tahun, menunjukkan keupayaan Mah Sing mempercepatkan tempoh pembangunan projek,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Beliau berkata, dengan jualan belum dibil bernilai RM384 juta serta nilai pembangunan kasar (GDV) berbaki setakat akhir suku pertama 2026, tempoh pembinaan yang lebih pantas dijangka mempercepatkan pengiktirafan hasil pada separuh kedua 2026 dan suku pertama 2027.
“Kami difahamkan jualan hartanah kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran tahunan penuh RM2.76 bilion, disokong permintaan kukuh daripada pembeli untuk didiami sendiri terhadap produk siri M.
“Kadar kelulusan pinjaman perumahan sektor kediaman yang lebih lemah tidak memberi kesan ketara kepada Mah Sing, disokong faktor harga yang kompetitif serta penglibatan awal bersama pihak bank berkaitan penilaian projek.
“Pada Julai 2026, Mah Sing melancarkan M Amaya di Pulau Pinang dengan harga permulaan RM480,000 dengan Fasa 1A merekodkan kadar pengambilan sebanyak 92 peratus.
“Pelancaran akan datang termasuk M Mira, M Hana, M Cora, M Tiara 2, pembangunan semula Corus dijangka akhir suku ketiga atau keempat 2026 serta MS Industrial Park @ Kulai pada suku keeempat 2026,” jelasnya.
Jo Yee berkata, selepas kelulusan pemegang saham terhadap pengambilalihan tanah berkaitan pihak berkaitan pada Julai 2026, MS Industrial Park @ Kulai kekal mengikut jadual untuk dilancarkan pada suku keempat 2026 dengan sumbangan hasil dijangka bermula suku pertama 2027.
“Pihak pengurusan menyasarkan jualan sektor perindustrian menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah jualan kumpulan pada 2026 dan angka itu berpotensi meningkat kepada 20 hingga 30 peratus dalam tempoh akan datang.
“Selain MS Industrial Park @ Kulai, Mah Sing mempunyai 60.70 heltar tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan pusat data di Southville City serta 60.9 ekar lagi di Meridin East, dengan pertanyaan daripada pihak berminat menunjukkan perkembangan positif di kedua-dua lokasi,” ujarnya.
Firma itu mengekalkan penarafan ‘beli’ terhadap Mah Sing dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.42. – UTUSAN






