PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim meninggal dunia di Hospital Shah Alam, hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.36 petang, sekali gus mengakhiri khidmat panjangnya dalam arena pentadbiran bola sepak tanah air.
Pemergian Rosman pastinya dirasai warga bola sepak tempatan, terutama selepas beliau pernah memainkan peranan penting dalam pengurusan bola sepak Selangor dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Allahyarham pernah menerajui pentadbiran FAS sebagai Setiausaha Agung dari 2013 hingga 2018, tempoh yang menyaksikan beliau terlibat secara langsung dalam pelbagai urusan pembangunan dan pengurusan bola sepak negeri.
Pada Ogos 2023, Rosman turut dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung FAM, selain pernah menganggotai Jawatankuasa Futsal badan induk bola sepak negara itu.
Jawatan terakhir yang disandang Allahyarham ialah Pengurus Unit Infrastruktur dan Pengurusan Fasiliti FAM.
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan menerusi satu hantaran hari ini yang memaklumkan Rosman meninggal dunia di Hospital Shah Alam.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Dukacita dimaklumkan bahawa Encik Rosman Mohd Ibrahim telah kembali ke rahmatullah di Hospital Shah Alam, jam 5.36 petang tadi,” menurut hantaran berkenaan.
Pemergian Allahyarham bukan sahaja kehilangan buat keluarga, malah turut meninggalkan ruang besar dalam kalangan warga pentadbiran bola sepak yang pernah bekerja bersama beliau.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.-UTUSAN






