PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 barangkali layak dipanggil ‘pilihan raya paling dahsyat’ pernah berlaku di negara ini.
Mana tidaknya, bukan sahaja dari segi jumlah calon teramai bertanding iaitu 447 orang dan tiada satu lawan satu hingga mencecah pertembungan 11 penjuru, tetapi kelibat calon-calon ‘underdog’ yang berani pula mencabar calon ‘heavyweight’.
Nama-nama besar dalam arena politik Sabah seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew juga nampaknya berhadapan dengan saingan pelbagai penjuru.
Bahkan, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang dibayangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) juga berdepan pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
Di Senallang, Mohd. Shafie berdepan saingan lima penjuru termasuk daripada anak buahnya sendiri, Norazman Utoh Nain daripada Bersatu yang bertanding menggunakan tiket PN.
Tiga calon lain ialah D. Pg. Ahmad Datu Ali Alam dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah).
Dalam pada itu, Salleh yang bertanding di Usukan bakal ditentang dua pencabar lain iaitu dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Abdul Bakrin Mohd. Yusof dan Datu Mohd. Nazaruddin Datu Tigabelas yang mewakili Parti Cinta Sabah (PCS).
Lebih mengujakan lagi di Api-Api apabila Christina yang juga Pengerusi PKR Sabah terpaksa berhadapan lapan lawan termasuk Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.
Calon-calon lain pula ialah Timbalan Presiden PCS, Datuk Pang Yuk Min; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Yee Moh Chai; calon Parti Gagasan Rakyat Sabah, Chong Tze Kuin; Lo Yau Foh (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan tiga calon bebas iaitu Sim Sie Hong, Ng Chun Sua dan Marcel Jude.
Di Sulaman, Hajiji yang sudah mempertahankan kerusi itu sejak 1990 juga ditentang dua calon lain iaitu Datuk Aliasgar Basri (Warisan) dan Rekan Hussein (PCS).
Sementara itu, di Lamag, seorang lagi calon Ketua Menteri yang disebut-disebut, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga berhadapan laluan sukar dalam pertembungan lima penjuru.
Bung Moktar yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) akan ditentang Mohd. Ismail Ayob (Warisan), Razman Mayah (PCS), Sairin Abd. Rahman (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan Junny@Karuak Abdullah (Bebas). -UTUSAN






