KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya amat terkesan dengan drama ‘lompat parti’ yang melanda kepemimpinan di peringkat Persekutuan dan negeri Sabah.
Sehubungan itu, ia menjadi parti pertama yang mewajibkan calon-calonnya dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini untuk menandatangani bon akuan bersumpah sebelum diberikan watikah pelantikan.
Bon bernilai RM10 juta itu bakal menjadi nilai ganti rugi kepada parti andai calon-calon yang memenangi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sabah melompat ketika sudah menang.
Langkah itu dilihat ‘tegas’ namun persoalannya yang lebih besar adalah mampukah mekanisme tersebut menghalang wakil-wakil rakyat terus menjual harga diri apabila ditawarkan sesuatu yang menggelapkan mata?
Semasa ditanyakan soalan berkenaan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR Sabah semalam, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dilihat gagal untuk memberikan jawapan konkrit.
Katanya, bon berkenaan merupakan kehendak kedua-dua belah pihak iaitu antara calon dan parti dalam mempamerkan kesefahaman antara satu sama lain.
“Saya percaya ini isu undang-undang, kita akan bahaskan nanti di mahkamah kerana ia bukan perkara baru. Ada beberapa kes telah kita failkan. Ini bersabit dengan beberapa siri pengkhianatan yang menyaksikan pimpinan, ahli Parlimen dan ahli dewan undangan parti (ADUN) yang meninggalkan parti.
“Saya percaya ini satu cara yang tegas daripada parti untuk memastikan tiada lagi pengkhianatan melompat parti,” katanya.
Meskipun begitu, sehingga kini belum terdapat undang-undang khusus yang mampu menghentikan lompat parti dalam kalangan ahli politik.
Sejarah juga membuktikan atas perkara hak asasi yang dijamin Perlembagaan, mahkamah membenarkan perkara itu seperti yang berlaku di Kelantan pada 1992.
Kes terbabit melibatkan dua ADUN yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket Semangat 46 dalam pilihan raya umum (PRU) 1990.
Nordin Salleh (Sungai Pinang) dan Wan Mohamed Najib Wan Mohamaed (Limbongan) menyertai UMNO pada tahun berikutnya. – UTUSAN






