KUALA LUMPUR: Guru, penuntut kolej swasta dan bekas jurujual antara wanita yang terjerat dengan pendakwah selebriti yang menggunakan popularitinya sebagai da’i bagi menggoda mangsanya.
Menurut sumber, pendakwah berusia 25 tahun itu pada mulanya didakwa menawarkan untuk mengajar ilmu pemasaran perniagaan selain mendakwa boleh merawat gangguan emosi mangsa.
Selain itu, pendakwah berkenaan juga dipercayai menjerat mangsa dengan mengajak mereka makan atau hanya untuk berbual.
Bagaimanapun, jelas sumber, pendakwah berkenaan kemudian membawa mangsa ke kediamannya sebelum didakwa merogol atau mencabul mangsa.
“Ini yang berlaku kepada beberapa mangsa termasuk guru, penuntut kolej serta bekas jurujual yang dicabul serta dirogol pendakwah selebriti yang kini dalam tahanan. Ada antara mangsa turut mendakwa dipaksa melakukan seks oral.
“Perbuatan suspek menyebabkan mangsa trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di wad psikiatri,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Ujarnya, ada yang mendakwa pendakwah berkenaan akan menghantar kiriman mesej atau gambar di Instagram mangsa yang cuba dijerat secara tiba-tiba sebelum berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah menerima lima laporan mangsa yang terdiri daripada penganggur, penuntut serta bekas jurujual yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 26 tahun mendakwa menjadi mangsa pendakwah berkenaan.
Tambahnya, semua laporan itu didakwa berlaku pada 2019 serta tahun ini.
Polis menyiasat semua kes tersebut i di bawah Seksyen 376 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Nexbyte semalam mendedahkan penyanyi dan bekas peserta program realiti berunsur keagamaan itu menggunakan agama bagi memperdayakan wanita berusia 20-an.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak tujuh laporan diterima melibatkan semua mangsa pengikut Instagram pendakwah selebriti berkenaan di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, daripada tujuh laporan itu, dua membabitkan Seksyen 376, Seksyen 354 (3), Seksyen 377C yang kesemuanya di bawah Kanun Keseksaan manakala satu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut kerana tiada unsur gangguan seksual.
Polis menyeru wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual pendakwah sama tampil membuat laporan bagi membantu siasatan pihak polis. – UTUSAN






