SHAH ALAM: Penyanyi rap, Caprice diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membuat permohonan maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada pendakwah, Ebit Lew kerana memfitnahnya pada tiga tahun lalu.
Hakim, Zuhrian Mohamed Nor turut mengarahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, memadam kenyataannya bersama seorang pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo dalam tempoh 48 jam.
Selain itu, pempengaruh yang kerap mencetuskan hantaran kontroversi itu juga diperintah tidak boleh mengeluarkan atau membuat kenyataan mengenai Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa hadapan.
Dalam prosiding sama, mahkamah menolak tuntutan balas Caprice dengan alasan ia tidak berasas.
Sebelum ini tindakan saman dikenakan oleh Ebit Lew sebagai plaintif terhadap Caprice yang juga aktivis kemanusiaan selepas dia memuat naik rakaman video bersama Mondy sebagai tetamu jemputan pada 15 September 2023.
Plaintif mendakwa, rakaman itu antara lain membawa maksud Ebit melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap wanita itu, selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta ‘penunggang’ agama.
Selain itu, plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.
Tindakan tersebut didakwa mengundang banyak komen negatif dikeluarkan oleh pengguna media sosial dalam akaun YouTube Caprice akibat penerbitan video itu.
Plaintif turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Caprice dan Mondy yang menyebabkan dirinya dikecam, diejek dan diaibkan.
Pada 29 September tahun sama, polis dilaporkan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan Ebit Lew, The Mondy Tattoo serta Caprice.
Dalam prosiding ini, Ebit diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader sementara peguam, Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal hadir bagi pihak Caprice.
Sementara itu, dalam kenyataan Ebit di laman sosial Facebook, beliau mengucapkan kesyukuran di atas kemenangan ini.
“Alhamdulillah syukur pada Allah, saya menang saman terhadap Caprice. Beliau diperintah memohon maaf atas fitnah dan membayar keseluruhan RM220,000,” katanya. – UTUSAN






