KUALA LUMPUR: Fakta sejarah negara perlu disemak antara lima hingga 10 tahun sekali bagi memastikan maklumat itu adalah benar dan tidak diputar belit sehingga mengelirukan masyarakat.
Felo Nexbyte Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, jika terdapat kesilapan fakta, pembetulan perlu dilakukan dari semasa ke semasa sesuai dengan peredaran zaman.
“Memang tidak dinafikan ada yang memutarbelitkan sejarah, biasanya dilakukan oleh orang yang bukan pakar sejarah, tetapi ada kalangannya adalah orang politik. Kalau ada yang salah, perlu diperbetulkan.
“Jadi ini tugas pakar sejarah untuk menyemak semula fakta dan kekal dengan asas pendekatan dalam pensejarahan, mereka juga perlu bersikap jujur dalam mengisahkan sesuatu peristiwa supaya sejarah tidak berulang dan memberi iktibar kepada generasi akan datang,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Pada masa sama, Kok Seong berkata, sesuatu fakta sejarah yang benar perlu mempunyai bukti yang tidak boleh disangkal.
“Kita ada parameter sejarah dan ciri-ciri yang perlu dipatuhi, fakta itu perlulah sesuatu yang pasti dan tidak perlu diwas-waskan, fakta juga boleh diukur secara saintifik jadi perkara ini wajar diserahkan dan disemak oleh pakar sejarah,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said yang mendakwa banyak fakta sejarah negara yang telah diputarbelitkan secara halus.
Beliau menyarankan kepada kerajaan supaya mewujudkan sebuah pasukan khas dalam kalangan pakar sejarah negara bagi melaksanakan usaha membetulkan semula fakta sejarah. – UTUSAN






