PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mencipta sejarah apabila masing-masing diiktiraf sebagai bekas Perdana Menteri dan pasangan bekas Perdana Menteri tertua yang masih hidup di peringkat ASEAN.
Pengiktirafan itu disampaikan ASEAN Records dan ASIA Records dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, semalam, bersempena ulang tahun kelahiran ke-101 Tun Dr Mahathir pada 10 Julai, ke-100 Tun Dr Siti Hasmah pada 12 Julai serta ulang tahun perkahwinan mereka ke-70 pada 5 Ogos lalu.
Sebanyak tiga rekod rasmi diberikan kepada pasangan itu, termasuk pengiktirafan Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup kepada Tun Dr Mahathir oleh ASEAN Records.
Tun Dr Mahathir, yang berusia 101 tahun pada 10 Julai lalu, pernah menerajui negara selama 24 tahun menerusi dua tempoh tidak berturut-turut, iaitu dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Tun Dr Siti Hasmah pula diiktiraf sebagai Pasangan Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup oleh ASEAN Records.
Beliau yang genap berusia 100 tahun pada 12 Julai lalu, telah mendirikan rumah tangga bersama Tun Dr Mahathir selama 70 tahun sejak 5 Ogos 1956 dan menjadi isteri Perdana Menteri selama 24 tahun sepanjang tempoh 1981 hingga 2003 serta 2018 hingga 2020.
Rekod ketiga yang diberikan ASIA Records pula mengiktiraf Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah sebagai pasangan bekas ketua kerajaan pertama yang kedua-duanya mencapai usia 100 tahun dan masih hidup.

Pada 12 Julai lalu, jumlah usia pasangan berkenaan mencecah 201 tahun, selepas masing-masing mencapai usia 101 dan 100 tahun, selain sudah 70 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Kisah pasangan itu bermula pada 1947 ketika kedua-duanya masih menuntut dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine.
Mereka kemudian mendirikan rumah tangga pada 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata sebelum Tun Dr Mahathir meneruskan perjalanan dalam politik sehingga menjadi Perdana Menteri, manakala Tun Dr Siti Hasmah turut memainkan peranan penting dalam khidmat kepada negara.
Menurut ASEAN Records dan ASIA Records, proses pengesahan oleh pasukan adjudikasi mendapati tiada pencapaian setara dengan rekod berkenaan yang didokumentasikan secara terbuka di rantau ASEAN serta pasaran utama Asia.
Sijil pengiktirafan itu disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat ASEAN Records dan ASIA Records, Tan Sri Datuk Danny Ooi, yang turut diiringi Ketua Adjudikasi, Gillian Ooi dan Eldrick Koh.
Pengiktirafan itu sekali gus menjadi catatan istimewa buat pasangan berkenaan yang bukan sahaja berkongsi perjalanan selama tujuh dekad sebagai suami isteri, malah mencatat sejarah menerusi usia, kepimpinan dan khidmat mereka kepada negara. – UTUSAN






