ALOR SETAR: Kerusi Parlimen Alor Setar secara tradisi sebelum ini adalah milik MCA, namun UMNO Bahagian Alor Setar menyatakan hasrat mahu mengambil alih dan meletakkan calonnya bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Hasrat itu difahamkan telah disuarakan oleh kepimpinan UMNO bahagian itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini untuk diberi pertimbangan bagi menjamin kerusi Parlimen itu dapat dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN).
Barisan kepimpinan UMNO di bahagian tersebut mengemukakan cadangan tersebut selepas mendapati pengaruh MCA di Parlimen itu semakin lemah berikutan parti dalam komponen BN itu tewas pada PRU-13 dan PRU-14 lalu.
Menurut sumber, pemimpin UMNO di bahagian itu mengharapkan Ahmad Zahid dapat berbincang dengan MCA agar dapat memberi peluang dan kepercayaan kepada UMNO yang juga parti dalam komponen BN bertarung di Parlimen berkenaan.
“Pada waktu ini, kemenangan BN di Parlimen Alor Setar sangat penting bagi menjamin BN dan Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) mempunyai kerusi mencukupi dan selesa untuk menerajui negara,” katanya di sini semalam.
Pada PRU-14 lalu, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chan Ming Kang yang memperoleh 32,475 undi memenangi Parlimen Alor Setar dengan majoriti 15,200, menewaskan calon Pas, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh yang mendapat 17,275 undi dan calon BN, Yoo Wei How mengumpul 14,181 undi.
Selain itu, jumlah pengundi Melayu di Parlimen itu pada PRU-15 nanti juga didapati lebih ramai iaitu 64.37 peratus daripada 80,530 pengundi yang berdaftar.
Dalam pada itu, jumlah pengundi Cina pula ialah 30.88 peratus, India (4.24 peratus) dan lain-lain (0.53 peratus).
Malah, ketika ini, UMNO juga mempunyai 106 cawangan di bahagian tersebut dengan jumlah keahlian seramai 18,303 orang.
Tambah sumber itu, berdasarkan kepada jumlah pengundi Melayu yang lebih ramai, calon daripada UMNO adalah paling layak bertanding di Parlimen itu.
“Lebih membanggakan, difahamkan sokongan pengundi Cina terhadap calon UMNO juga tidak terjejas malah lebih tinggi berdasarkan suasana politik dan ekonomi negara sekarang,” katanya.
Mengenai calon pula, sumber itu menyatakan, UMNO bahagian itu mempunyai barisan kepimpinan yang berpengalaman luas dan boleh diketengahkan sebagai calon.
Antara calon yang dilihat layak ialah Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Zambri Mat; Naib Ketua UMNO Bahagian, Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri. – UTUSAN






