PETALING JAYA: M. Menaga Dewi menukar kesedihan kehilangan insan tersayang kepada suntikan semangat apabila atlet Kedah itu menewaskan Lucus Chong Wen Le dari Selangor 1-0 untuk merangkul emas kategori bawah 48 kilogram wanita di Sukan Malaysia (SUKMA), hari ini.
Lebih bermakna, kejayaan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam itu hadir kira-kira dua minggu selepas neneknya meninggal dunia, sekali gus menjadikan emas berkenaan hadiah istimewa buat insan yang menjadi sumber kekuatannya.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaan Menaga Dewi yang sekadar meraih pingat perak pada SUKMA 2024, sekali gus membolehkannya menukar warna pingat pada penampilan kali ini.
Detik manis itu melengkapkan perjalanan Menaga Dewi dalam judo yang bermula selepas dia diperkenalkan kepada sukan berkenaan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.
Selepas sekitar enam hingga tujuh tahun menjalani latihan, Menaga Dewi akhirnya mendapat ganjaran terbesar di pentas SUKMA apabila kerja kerasnya membuahkan emas dalam kategori yang disertainya. – UTUSAN






