PETALING JAYA: Laman media sosial seperti Facebook dan Google wajar membayar kepada para penerbit kandungan berita mengikut kadar yang ditetapkan oleh agensi berkenaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Shazleen Mohamed berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan kerana kedua-dua syarikat itu memperoleh keuntungan daripada iklan.
Namun katanya, kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan melaksanakan undang-undang berkaitan bagi memastikan syarikat gergasi mematuhi peraturan ditetapkan.
Lebih-lebih lagi katanya, dengan penyebaran maklumat palsu yang kini tersebar luas, reputasi media sangat penting sebagai rujukan sumber berita.
“Media telah menjalankan tanggungjawab dalam menjadi sumber berita yang tepat dan sahih. Dengan perkembangan semasa di mana banyak berita palsu tersebar, reputasi organisasi media sangat penting sebagai rujukan sumber berita.
“Facebook Inc. dan Google yang bergantung kepada penaja atau pengiklanan dalam perolehan keuntungan seharusnya memberi imbuhan sewajarnya kerana platform mereka digunakan oleh orang ramai untuk mendapatkan bahan berita,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Kelmarin Parlimen Australia meluluskan undang-undang pertama di dunia yang memaksa Facebook dan Google membayar penerbit tempatan untuk kandungan berita yang digunakan.
Langkah itu dilihat memungkinkan pelancaran lebih banyak tindakan peraturan global untuk mengehadkan kuasa mereka.
Berdasarkan undang-undang yang diluluskan Australia itu, ia akan memastikan perniagaan media berita dibayar dengan adil.
Malah Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dikatakan turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin India, Kanada, Perancis dan United Kingdom (UK) berhubung undang-undang baharu itu.
Keuntungan global Facebook dianggarkan mencecah kira -kira AS$60 bilion (RM243 bilion) manakala Google lebih AS$110 bilion (RM446 bilion) daripada keuntungan pengiklanan. – UTUSAN






