PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai memastikan slot suku akhir menjadi milik wakil Malaysia, selepas gandingan itu bakal berdepan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, Khamis ini.
Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 11 dunia membenam beregu China, Huang Di-Liu Yang 21-14, 21-15 dalam masa 36 minit di peringkat 32 terbaik, hari ini.
Kejayaan itu juga menyaksikan Wei Chong-Kai Wun kini mendahului selesa dengan rekod kemenangan 3-0 ke atas pasangan No. 34 dunia tersebut.
Aaron-Wooi Yik terlebih dahulu layak ke pusingan ketiga, selepas menewaskan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand 15-21, 21-11, 21-18 dalam masa 58 minit.
Pertembungan dua beregu Malaysia itu sekurang-kurangnya telah memastikan slot suku akhir berada dalam genggaman negara.
Mengulas mengenai prestasi berdepan beregu China, Wei Chong berkata, mereka berdua telah melakukan bahagian masing-masing dan mempamerkan corak permainan yang dimahukan tanpa terlalu memikirkan tentang keputusan.
Ketika ditanya pula mengenai perlawanan pusingan ketiga menentang Aaron-Wooi Yik, Wei Chong menjelaskan, pertembungan tersebut bukanlah kali pertama kerana mereka pernah bertemu beberapa kali sebelum ini.
“Sebenarnya berita baik untuk Malaysia kerana sekurang-kurangnya akan ada satu wakil yang mengesahkan tempat ke suku akhir.
“Jadi kami hanya mahu bersiap sedia untuk perlawanan itu, kami tidak mahu fikir tentang keputusan, cuma mahu memberikan persembahan terbaik kami,” katanya kepada wakil BWF.
Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita, Wong Ling Ching tidak berdepan masalah melakar kemenangan straight set ke atas Namie Miyahira dari Peru 21-10, 21-12 dalam masa 23 minit di peringkat 64 terbaik.
Namun di pusingan seterusnya, pemain No. 36 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan jaguh No. 2 dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun.
Anak jati Sarawak berusia 22 tahun itu belum pernah bertemu juara dunia edisi 2025 tersebut dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini. – UTUSAN






