PETALING JAYA: Peniaga dan usahawan berharap operasi perniagaan terus dibenarkan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bercakap kepada Nexbyte, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, ini kerana peniaga dan usahawan sudah terbeban dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga ada yang kehilangan sumber pendapatan.
Malah, menurut beliau, SOP tidak boleh terlalu kerap diubah-ubah sehingga para peniaga tidak dapat beroperasi dengan lancar.
“Kalau boleh kita tak nak PKP lagi, sebab perniagaan akan terjejas kerana tidak boleh beroperasi seperti biasa, tetapi dengan kes naik, kita patuh kepada arahan. Cuma, SOP janganlah sampai membebankan peniaga.
“Contohnya, industri makanan janganlah hanya dibenarkan beroperasi hingga 8 malam. Lanjutkan hingga 12 malam supaya peniaga mempunyai masa untuk berniaga dan pengguna mempunyai tempoh yang cukup untuk beli makan malam selepas waktu bekerja,” katanya.
Namun, katanya, jika PKP dilaksanakan, para peniaga dan usahawan perlu menyesuaikan diri dengan SOP dan norma baharu.
“Peniaga dan syarikat usahawan sudah ada pengalaman setahun menghadapi PKP, jadi mereka perlu lebih kreatif terutamanya dalam soal e-dagang memandangkan mereka sudah semakin biasa berniaga dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed menerima hakikat jika kerajaan berhasrat untuk mengadakan PKP dengan syarat para penjaja terus dibenarkan beroperasi.
“PKP ini ada kebaikannya dan kita tiada halangan kerana nyawa lebih penting, tetapi kita minta penjaja dapat beroperasi seperti biasa dan lebih baik dari sebelum ini.
“Sebab pasar malam dan pasar tani sebelum ini tidak dibenarkan, apabila dua kali buat rayuan baru dibenarkan, sedangkan kalau ikutkan tempat tertutup lebih mudah dijangkiti wabak berbanding di kawasan penjaja yang terbuka. Jadi kita harap kerajaan pertimbangkan sektor yang wajar beroperasi ketika PKP,” katanya. – UTUSAN ONLINE





