KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan terhadap pemberian sebuah lukisan daripada seorang anak istimewa ketika program Temu Anwar di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau masih mengingati saat lukisan berkenaan diserahkan kanak-kanak berkenaan yang didukung bapanya ketika program itu.
“Terima kasih atas pemberian yang cukup bermakna ini. Saya hargai dengan penuh kasih,” katanya.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik Anwar, lukisan itu menampilkan watak robot lengkap dengan perisai berwarna merah dan biru serta objek berbentuk tongkat yang dipegang pada tangan kirinya.
Temu Anwar merupakan platform dialog antara Perdana Menteri dan anak muda serta masyarakat pelbagai lapisan secara langsung. – BERNAMA






