PETALING JAYA: Sidang Dewan Rakyat adalah jalan terbaik merungkai kemelut politik yang dihadapi negara ketika ini, bukannya penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, ini kerana Parlimen adalah medium yang menghampiri sistem demokrasi mewakili rakyat dan sebagai pembuat keputusan dalam setiap perkara.
“Paling penting kuasa diberi kepada rakyat untuk membuat pilihan, tetapi pilihan raya ketika ini adalah tidak mungkin dilaksanakan. Jadi sebab itu dikatakan Parlimen diberi kuasa penuh untuk menentukan hala tuju negara sama ada kerajaan sekarang hendak dikekalkan atau kerajaan baharu.
“Mageran itu tidak mirip kepada ciri-ciri demokrasi. Jadi Parlimen merupakan jalan terbaik untuk meringankan kemelut yang dihadapi ketika ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, cadangan tersebut dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis, Dr. Salawati Mat Basir turut berkata, persidangan Parlimen perlu disegerakan untuk membincangkan perihal rakyat dengan mengambil contoh beberapa negara lain yang menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika bersidang.
“Kita perlu kembali pada Parlimen untuk terus menghidupkan demokrasi dan kerajaan mesti bersedia untuk menghadapi tembakan-tembakan pembangkang sama ada atas talian atau nyata.
“Malah, banyak negara bersidang mengikut prosiding. Yang penting isu kritikal rakyat dapat dibahas dan dibincangkan dengan segera,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE






