PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Leong Jun Hao mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua, hari ini, namun, bintang No. 9 dunia, Li Shi Feng menantinya di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, Rabu ini.
Jun Hao yang menghuni ranking No. 27 dunia mengambil masa selama 46 minit untuk mengetepikan pemain kurang ternama dari Brazil, Jonathan Matias 21-19, 21-15 dalam masa 46 minit di peringkat 64 terbaik.
Shi Feng memiliki kelebihan psikologi menjelang pertembungan dengan Jun Hao, jika rekod pertemuan 8-1 ke atas anak jati Kuala Lumpur itu diambil kira.
Satu-satunya kemenangan 18-21, 21-17, 21-17 pernah dicatat Jun Hao ke atas jaguh China itu adalah pada peringkat 32 terbaik Terbuka India, tahun lalu di gelanggang sama iaitu Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Jun Hao berkata, dia berasa lega dapat meraih kemenangan dalam aksi pembukaan, tetapi, kemenangannya ke atas Matias tidak diraih dengan cara yang mudah.
“Selain keadaan gelanggang yang berangin, dia (lawan) terus mengejar, terus beri tekanan pada pukulan dan semuanya. Jadi, saya gembira dapat mengawal keadaan dan dapat kemenangan straight set tadi,” katanya kepada wakil BWF, hari ini.
Mengulas mengenai aksinya menentang Shi Feng, pemain berusia 27 tahun itu berharap dapat bermain dengan lebih baik berbanding, hari ini.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita No. 1 Malaysia, K. Letshanaa hanya memerlukan selama 25 minit untuk menyingkirkan wakil Uganda, Fadilah Shamika Mohamed Rafi 21-11, 21-7.
Di peringkat seterusnya, bintang No. 3 dunia, Wang Zhi Yi menjadi penghalang terbesar Letshanaa untuk menempah laluan ke peringkat 16 terbaik.
Pemain berusia 22 tahun itu yang berada di ranking ke-31 dunia tidak pernah menewaskan Zhi Yi dengan dua rekod pertemuan lalu kesemuanya berpihak kepada bintang China tersebut.
Letshanaa berkata, setiap kali dia berdepan Zhi Yi, banyak perkara baharu yang dipelajarinya daripada pemain handalan itu.
“Saya sentiasa seronok bermain dengannya. Saya sangat menantikan perlawanan itu kerana saya hanya mahu bermain permainan saya, memberikan yang terbaik dan melihat di mana tahap saya sekarang.
“Jadi, ini adalah satu lagi peluang yang sangat baik untuk saya bermain menentang pemain dalam kelompok lima terbaik dunia,” katanya.
Justeru, menurut Letshanaa, beraksi menentang pemain Uganda di pusingan pertama sekurang-kurangnya memberi peluang untuk dia mencari rentak serta momentum menjelang pertemuan dengan Zhi Yi. – UTUSAN






