PETALING JAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula hari ini dijangka menyebabkan negara mencatatkan kerugian, tetapi tidaklah sehingga RM2.4 bilion sehari seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Mac tahun lalu.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali menyifatkan total lockdown kali ini tidak berdepan dengan isu politik, malah kerajaan sudah pun memberikan pelbagai insentif sebelum ini.
Namun, katanya, kerajaan perlu menggunakan kreativiti untuk memperkenalkan bentuk bantuan baharu tanpa perlu menggunakan terlalu banyak dana kerajaan.
“Ketika dilaksanakan PKP 1.0, masa itu tengah ada isu politik dan perubahan kerajaan, sebab itu kita rugi banyak tetapi selepas itu kerajaan perkenalkan pelbagai bantuan seperti subsidi upah dan moratorium. Cuma kalau sebelum ini kerajaan menjangkakan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.5 peratus, angka itu mungkin jatuh ke sekitar 5 peratus dalam tempoh akan datang.
“Jadi hanya berkurangan sedikit, tetapi pakej rangsangan patutnya kena ada juga. Angka pengangguran akan meningkat sebab waktu lockdown ramai yang tidak boleh kerja termasuklah graduan, mereka perlu kreatif mencari pekerjaan yang bersifat maya tetapi kerajaan juga perlu kreatif memberikan bantuan sewajarnya,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radioni, total lockdown akan memberi kesan kepada sektor pembinaan dan kontraktor, namun beliau berharap pakej rangsangan ekonomi baharu dapat diperkenalkan segera.
“Kerajaan pernah memperuntukkan pakej rangsangan ekonomi kepada kontraktor kecil seperti yang pernah dilaksanakan ketika lockdown kali pertama pada Mac 2020 lalu, ini penting bagi menggerakkan ekonomi yang telah terkesan dengan Covid-19 ini dengan kadar segera.
“Jadi kami percaya dengan adanya pakej rangsangan ekonomi ini ia akan dapat dinikmati oleh setiap perniagaan dan masyarakat dalam negara,” katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor pula berharap total lockdown kali ini tidak terlalu membebankan para pekerja sehingga sukar untuk menjalankan operasi syarikat.
“Dalam keadaan tidak boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan tidak diketahui sama ada lockdown ini akan berlanjutan, diharapkan kerajaan dapat meringankan beban majikan dan pekerja supaya sumber pendapatan syarikat tidak jatuh begitu sahaja serta sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan swasta,” katanya. – UTUSAN ONLINE





