PETALING JAYA: Lebih 23,000 doktor lantikan kontrak yang kini berkhidmat dalam sektor kesihatan awam dikhuatiri memilih untuk menabur bakti di luar negara setelah tamat tempoh kontrak masing-masing di sini.
Hal ini berikutan berkhidmat sebagai doktor lantikan tetap di luar negara memberi lebih jaminan peluang pekerjaan selain imbuhan yang lebih baik.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Penganjur Gerakan Hartal Doktor Kontrak dikenali sebagai Dr. Mohamad berkata, dasar pelantikan ke dalam perkhidmatan tetap yang tidak jelas sebelum mogok bermula 26 Julai ini akan mendorong mereka untuk meninggalkan Malaysia.
“Jika ada peluang yang lebih baik, saya juga memilih untuk bekerja di tempat lain.
“Jumlah doktor kontrak di negara ini sudah terlalu ramai dan hanya sebilangan kecil yang diserap dalam kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, sekumpulan pegawai perubatan kontrak mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu memberi kata dua kepada kerajaan untuk melakukan hartal atau mogok pada 26 Julai ini jika masih tiada jalan penyelesaian isu pelantikan tetap mereka.
Dilaporkan, seramai 23,077 doktor kontrak telah direkrut sejak kerajaan memperkenalkan sistem kontrak pada 2016 hingga kini namun hanya 789 pegawai diserap ke dalam perkhidmatan tetap kerajaan.
Sementara itu, pegawai perubatan di The Lyell McEwin Hospital, Australia, Dr. Nicholas Wong, 28, mengakui petugas kesihatan di negara itu mendapat layanan memuaskan dari aspek gaji, waktu kerja yang seimbang, pembangunan kendiri dan pendidikan di peringkat sarjana.
“Saya tidak menafikan, sistem penjagaan kesihatan di Malaysia antara yang terbaik di dunia walaupun ada masalah yang berlaku. Pun begitu, melalui pengalaman, saya katakan peluang di Australia lebih baik.
“Malah, saya mendapat penghormatan daripada doktor senior dan juga pakar perunding malah mereka terbuka untuk membimbing saya menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau yang bekerja sejak lapan bulan lalu di Australia pada awalnya tidak merancang berhijrah selepas menamatkan kontrak dua tahun di negara ini, namun masalah lantikan sejak lima tahun lalu menyebabkan dia nekad mencari peluang yang lebih baik.
“Saya menjadi doktor bukan semata-mata mahu mengejar wang tetapi saya juga manusia yang berharap dibayar secara adil untuk tanggungjawab yang dipikul,” katanya.
Seorang lagi doktor yang juga bekerja di Australia, Dr. Ho Yong Jie, 28, doktor kontrak tidak diberikan keadilan sewajarnya kerana tiada jaminan pekerjaan, gaji rendah, cuti kurang malah tidak berpeluang memilih pengkhususan tertentu menjadi pakar kecuali atas tanggungan sendiri dengan mengambil peperiksaan dan latihan kepakaran di luar negara.
“Sebolehnya saya memilih untuk bertugas di tanah air sendiri tetapi bagaimana kami dilayan adalah amat mengecewakan,” katanya.- UTUSAN ONLINE





