PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi jaminan tidak akan mengenakan apa-apa tindakan ke atas sekumpulan doktor kontrak yang melakukan solidariti aman semalam.
Bercakap kepada Nexbyte, beliau berkata, mereka berhak berbuat demikian bagi menyuarakan pandangan
“Tidak akan ada apa-apa tindakan kepada mereka walaupun mereka keluar semalam. Mereka berhak berbuat demikian,” katanya di sini semalam.
Kira-kira 4,000 doktor kontrak di seluruh negara menyertai mogok secara aman semalam di lokasi mereka bertugas walaupun berisiko dikenakan tindakan tatatertib atau undang-undang.
Mogok membabitkan 30 hingga 100 doktor kontrak di setiap hospital kerajaan itu berlangsung dalam tempoh 15 hingga 30 minit dengan masing-masing membawa plakad dan ada yang berpakaian serba hitam bermula serentak pada pukul 11 pagi.
Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Umar Baraka berkata, gerakan mendapat keadilan buat 23,000 doktor kontrak tidak akan terhenti dengan mogok sebaliknya membayangkan mereka mungkin akan mengambil langkah seterusnya iaitu bercuti beramai-ramai.
Pihaknya turut berdukacita apabila mogok tersebut tidak mendapat sokongan malah dikritik pula doktor senior sedangkan pegawai perubatan kontrak adalah sebahagian petugas barisan hadapan. – UTUSAN ONLINE





