PETALING JAYA: Soal kuasa termasuk siapa yang layak memegang jawatan Perdana Menteri tidak wajar dibincangkan oleh semua pemimpin pada masa ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebaliknya soal rakyat yang perlu menjadi keutamaan dalam situasi peningkatan kes Covid-19.
Malah katanya, sebarang kenyataan berhubung isu tersebut termasuk kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya bersifat pandangan peribadi semata-mata.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad bebas untuk beri apa jua pandangan atau siapa pun calon Perdana Menteri.
“Namun sekarang bukan masa sesuai untuk bercakap perkara berkenaan. Sekarang adalah masa untuk kita bincangkan isu rakyat,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) baru -baru ini berhubung calon Perdana Menteri pada masa akan datang.
Menurutnya, terdapat sekurangnya-kurangnya empat atau lebih yang berpotensi menjawat jawatan berkenaan pada masa akan datang termasuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, adalah lebih baik semua pihak menilai sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 atau tidak.
“Amanah mahu bincangkan isu-isu rakyat. Kita boleh lihat sekarang kes sudah mencecah lebih 13,000 angka. Adakah langkah lockdown ini berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari menyangkal dakwaan Tun Mahathir dan menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dianggap calon popular untuk menjawat jawatan nombor satu itu.
“Tun Mahathir tidak percaya pada PH. Sebab itu beliau tidak menamakan calon daripada PH. Sedangkan baru-baru ini sebuah akhbar menyatakan populariti Anwar paling Tinggi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE






