PUTRAJAYA: Peralihan fasa 2 lima negeri dengan Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu memasuki fasa itu bermula hari ini, tidak bermakna penduduk bebas sepenuhnya tanpa perlu mematuhi arahan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menegaskan perkara itu kepada Nexbyte, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebarang perhimpunan orang ramai dan pergerakan akan meningkatkan risiko berlaku penularan jangkitan Covid-19.
Kata beliau, ia diburukkan dengan kemunculan varian baharu terutama Varian Delta B.1.617.2 yang sememangnya sudah berada di persekitaran di kebanyakan negeri. Varian tersebut mempunyai ciri boleh menular dengan pantas dan gejala lebih teruk.
“Pada masa ini masih terdapat kawasan tertentu dalam negeri terbabit yang mempunyai jumlah kes yang tinggi serta liputan imunisasi yang masih rendah.
“Kedua-dua faktor ini boleh mendorong kepada berlakunya penularan jangkitan, peningkatan kes positif Covid-19, kes dengan gejala teruk serta komplikasi yang memerlukan rawatan unit rawatan rapi (ICU).
“Keadaan tersebut boleh menyebabkan negeri-negeri yang sudah dikategorikan Fasa 2 boleh beralih ke Fasa 1 semula,” katanya di sini semalam.
Bermula hari ini, hampir dua juta penduduk Pulau Pinang menjadi negeri keenam peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang bermula kelmarin.
Adham berkata, penilaian indikator PPN dipantau dari semasa ke semasa dan peralihan fasa bagi setiap negeri dan Wilayah Persekutuan dipantau secara berterusan berdasarkan kepada pencapaian ketiga-tiga indikator yang ditetapkan iaitu purata tujuh hari kes harian, tahap penggunaan kapasiti wad ICU dan kadar vaksinasi.
Justeru, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk terus mematuhi SOP ditetapkan, sentiasa mengamalkan norma baharu dan perlu saling mengingati sesama sendiri dan ahli komuniti supaya bilangan kes Covid-19 kekal rendah dan tidak berlaku kejadian kluster.
Mengikut rekod, bermula 13 Mei sehingga 10 Jun lalu, terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (dua kluster) dilaporkan.
Sebanyak 13,023 individu disaring dalam kluster ini, yang mana terdapat 3,511 kes Covid-19 dikenal pasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus. Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian dilaporkan.
Pada masa sama, Adham mengingatkan setiap individu sentiasa memantau status kesihatan kendiri setiap hari dan sekiranya bergejala, dinasihatkan pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalankan pemeriksaan dan saringan Covid-19.
Sementara menunggu keputusan ujian pengesanan wabak itu, katanya, mereka dinasihatkan membuat pengasingan kendiri di tempat kediaman masing-masing dan ventilasi di tempat kediaman adalah mencukupi.
“Pastikan mereka yang layak untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19, mendaftarkan diri dan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut tarikh ditetapkan kerana kerajaan ingin memastikan semua populasi di Malaysia yang layak akan menerima vaksin.
“Ia penting untuk memberi perlindungan diri dari mendapat jangkitan Covid-19, atau mendapat jangkitan tetapi dengan gejala yang ringan. Dengan pencapaian liputan imunisasi tinggi (80 peratus dari sasaran populasi Malaysia) ia juga dapat membantu memberikan perlindungan kepada komuniti dari mendapat jangkitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE





