PUTRAJAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) boleh dipertimbangkan untuk ditubuhkan bagi menyiasat dan mengenal pasti segala kelemahan dalam mengendalikan dan menguruskan kes jangkitan Covid-19.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, peningkatan mendadak kes positif baharu sehingga lebih 10,000 kes dikatakan berpunca daripada proses ujian saringan yang sedang giat dilakukan ketika ini khususnya di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Namun, kata beliau, persoalan timbul kenapa jumlah kes jangkitan itu hanya dapat dikenal pasti setelah PKPD dilakukan dan bukannya dikesan pada peringkat awal lagi.
“Dimanakah kelemahan dan kekurangan dalam perkara ini? Sekiranya jumlah kes jangkitan ini dapat dikenal pasti pada peringkat awal, kita mungkin dapat mengawal penularan jumlah kes jangkitan.
“Justeru, penubuhan RCI ini boleh menyiasat dan mengenal pasti segala kelemahan dan kekurangan yang ada dalam mengendalikan dan menguruskan kes jangkitan wabak,” katanya di sini semalam.
Menurut Muzaffar, RCI penting bagi memberi ruang dan peluang kepada pihak lebih berkepakaran dan berpengalaman untuk menyiasat segala isu berbangkit melibatkan aspek pengendalian dan pengurusan Covid-19 sejak negara terdedah dengan virus berkenaan pada awal tahun lalu.
Pada masa sama, katanya, RCI turut boleh menilai segala langkah yang telah diambil kerajaan dalam mengawal penularan wabak sama ada perlu ditambah baik atau diperkenalkan langkah baharu yang lebih berkesan.
“Yang di-Pertuan Agong boleh memberi perkenan terhadap penubuhan RCI ini seperti yang termaktub di bawah di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
“Di bawah Seksyen 2 akta berkenaan jelas memperuntukkan bahawa Seri Paduka Baginda boleh, jika didapati sesuai dan manfaat berbuat demikian, mengeluarkan suatu tauliah melantik seorang Pesuruhjaya atau lebih dan memberi kuasa Pesuruhjaya itu untuk menyiasat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan siasatan di bawah seksyen itu meliputi (a) kelakuan mana-mana pegawai persekutuan; (b) perjalanan atau pengurusan mana-mana jabatan perkhidmatan awam Malaysia; (c) perjalanan atau pengurusan mana-mana institusi awam yang tidak semata-mata disenggarakan dengan kumpulan wang negeri; atau (d) apa-apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, berfaedah bagi kebajikan awam.
Jelasnya, perkataan kebajikan awam itu adalah luas yang boleh juga meliputi segala isu berbangkit melibatkan aspek pengendalian dan pengurusan Covid-19 dalam negara.
Hasil siasatan yang dilakukan kemudian dapat dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.
“Selalunya dalam laporan RCI ini terdapat pelbagai cadangan penambahbaikan yang dapat diberikan bagi mengukuhkan lagi peranan dan fungsi jabatan dan agensi-agensi yang berkaitan dalam mengendalikan dan menguruskan sesuatu perkara atau isu,” katanya.
Muzaffar berkata, penubuhan sesebuah RCI bukanlah satu perkara baharu dalam negara terutama apabila wujud isu-isu peringkat nasional melibatkan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan awam dalam negara seperti kes kematian Teo Beng Hock pada tahun 2010, isu pendatang asing Sabah 2012 serta yang terbaharu melibatkan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990an.
Sementara itu, Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berpendapat, walaupun RCI mempunyai kebaikan yang jelas misalnya dapat memperbaiki tatacara dan tindakan sedia ada, ia bukanlah satu perkara utama buat masa ini.
Beliau menjelaskan, ini kerana negara masih berperang dengan Covid-19 dan RCI hanya akan mengganggu tugas-tugas menteri, pegawai tinggi kerajaan yang bertanggungjawab dalam tindakan-tindakan serta perancangan menangani pandemik yang hanya menyebabkan mereka hilang fokus serta menjejaskan perancangan sedia ada.
Apa yang penting, kata beliau, keperluan sekarang ialah persidangan Parlimen yang mana kerajaan diberi ruang untuk menerangkan pelan tindakan pemulihan dan strategi-strategi yang telah dirancang.
Pada masa sama, ia juga satu peluang wakil rakyat untuk meneliti tindakan dan perancangan kerajaan secara lebih mendalam sekali gus sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan kerajaan semasa bertanggungjawab untuk menjawab dan mempertahankan tindakan-tindakan mereka di Parlimen. – UTUSAN ONLINE





