PASIR SALAK: ‘Musim durian ketika ini mungkin pengganti kepada rezeki kami dalam perniagaan katering yang tidak dapat beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19’.
Itu kata Mohd. Fariz Mokhtar, 37, di Changkat Lada, Seberang Perak di sini setelah lebih setahun tidak dapat menjalankan perniagaan katering disebabkan PKP.
Menurutnya, selepas dua musim durian tidak berbuah, tanpa diduga kali ini musim durian berbuah lebat dan ini membuka peluang kepadanya berniaga raja buah itu untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Lima tahun mengusahakan perniagaan katering, bisnes saya merosot sejak PKP pertama lagi kerana majlis perkahwinan tidak boleh diadakan.
“Sekarang Allah ganti dengan rezeki yang lain, kami berniaga durian. Dua tahun lalu tiada musim durian di sini tapi kali ini kami dapat merasai musim durian semula.
“Menerusi jualan durian, dapatlah menampung perbelanjaan keluarga. Saya tidak sangka durian berbuah lebat di sini pada musim ini,” katanya ketika ditemui Nexbyte di sini semalam.
Mohd. Fariz berkata, dia menjual durian kampung dan durian bukit dan sambutan daripada pembeli amat menggalakkan.
Katanya, namun dia berdepan dengan masalah kejatuhan harga raja buah itu disebabkan musim luruh serentak di banyak kawasan di Perak dan di tempat-tempat lain.
“Saya jual pada harga serendah RM5 hingga RM10 sekilogram, tak kisahlah harganya rendah asalkan saya dapat berniaga,” katanya.
Menurutnya, sejak perniagaan katering yang diusahakannya tidak lagi menerima tempahan, dia melakukan pelbagai usaha untuk mencari pendapatan antaranya berniaga makanan di kedai depan rumahnya di Taman Changkat Lada Raya, Kampung Gajah dekat sini.
Katanya, perniagaan makanan yang diusahakannya itu menerima sambutan yang agak baik walaupun hanya menyediakan makanan untuk pembeli secara bungkus. – UTUSAN ONLINE





