KLANG: Pengurusan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang digesa mewujudkan tempat rujukan bagi waris yang ingin mengetahui status ahli keluarga mereka yang sedang dirawat akibat Covid-19.
Inisiatif berkenaan dilihat bakal memberi kemudahan kepada waris yang ketika ini tidak dibenarkan menziarah ahli keluarga mereka berikutan larangan yang dikuatkuasakan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) hospital bagi mengelakkan penularan jangkitan.
Menurut Pengerusi Selangor People’s Voice (SPV), M. Paramasivan, beliau mendapat banyak aduan waris pesakit Covid-19 yang tidak tahu kepada siapa hendak bertanya.
“Orang ramai sudah pasti risau dengan keadaan keluarga seperti ibu bapa dan saudara yang berada di wad setelah dijangkiti Covid-19.
“HTAR sepatutnya membuka talian telefon dan kaunter informasi untuk waris merujuk keadaan keluarga mereka. Dalam keadaan Covid-19 masih berleluasa, sudah pasti mereka tidak boleh datang selalu ke kawasan hospital,” katanya ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Paramasivan menambah, beliau menerima luahan beberapa waris pesakit yang tidak mendengar khabar ahli keluarga daripada pihak hospital sehingga dua minggu dan lebih menyedihkan hanya dihubungi untuk memberitahu mereka sudah meninggal dunia.
Menurutnya, ahli keluarga pesakit Covid-19 memahami tekanan yang dihadapi barisan hadapan di HTAR yang perlu merawat pesakit ramai, namun yakin inisiatif mewujudkan tempat rujukan jalan terbaik untuk mengetahui keadaan semasa ahli keluarga pesakit.
“Kita memahami masalah kesibukan petugas di HTAR tetapi waris berhak mengetahui keadaan keluarga mereka dari semasa ke semasa.
“Situasi pesakit kritikal atau semakin sihat, bukan satu isu tetapi apa yang penting mereka perlu ada maklumat bagi mengurangkan tekanan perasaan ahli keluarga di luar hospital,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memahami kekangan kakitangan menyebabkan permintaan mewujudkan tempat rujukan sedemikian menjadi sukar, bagaimanapun berharap pengurusan hospital mempunyai kaedah yang lebih baik. – UTUSAN ONLINE





