KUALA LUMPUR: MCA tidak dapat mengawal ahlinya termasuk sayap parti untuk menzahirkan pandangan walaupun dilihat tidak sealiran dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti.
Hal ini kerana semua pihak berhak berkongsi pandangan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan bersuara.
Bercakap kepada Nexbyte, jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan bagaimanapun berkata, setiap pandangan diberikan tidak semestinya menggambarkan pendirian parti sebaliknya bertindak atas kapasiti peribadi walaupun memegang jawatan besar.
“Soal isu dalam MCA yang menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin letak jawatan, ini tidak pernah dibincang di peringkat Pusat parti. Ini bukan satu isu mendesak dan hanya pandangan peribadi yang tidak sesekali mempamerkan atau mewakili parti. MCA mempunyai ahli yang ramai dan mustahil untuk membentuk semua ahli berfikiran sama.
“Sememangnya MCA mengamalkan demokrasi dengan tidak menghentikan sesiapa pun untuk bersuara kerana kami ada ruang untuk perkara ini,” katanya ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Yew Chuan berkata demikian mengulas pandangan Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How memetik laporan media tempatan kelmarin yang mengambil langkah berani menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan.
Wai How berpandangan, Ahli Parlimen Pagoh itu harus memberi jalan kepada calon yang lebih layak untuk memimpin negara sekali gus menangani pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, mengakui pengurusan krisis dan kawalan kerosakan perlu dilakukan, Yew Chuan berkata, beliau akan berbincang secara berhemah dengan Wai How untuk menjelaskan keadaan.
“Tetapi, saya menyeru pemimpin MCA supaya jangan lari daripada fokus kita yang sebenar. Paling utama ialah sebagai satu parti di dalam kerajaan hari ini, MCA mesti memainkan peranan untuk membantu rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE





