PUTRAJAYA : Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) mengesahkan berlaku taburan hujan lebat luar biasa dalam tempoh masa singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan, Kedah petang semalam.
Pengesahan itu berdasarkan laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang mendapati terdapat hujan lebat luar biasa bermula kira-kira pukul 2.30 petang.
Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Zaini Ujang berkata, kejadian hujan ekstrem itu menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedalaman 0.1 hingga 0.3 meter di daerah Kuala Muda dan 0.2 hingga 1.5 meter di daerah Yan.
Beliau berkata, hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada lintasan.
“Berdasarkan maklumat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 milimter (mm) dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan bacaan kumulatif 172 mm.
“Dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini semalam.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, berdasarkan rekod, pada pukul 6 petang, hujan yang turun telah melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI).
Beliau berkata, KASA bersama agensi-agensi di bawahnya termasuk Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil tindakan termasuk kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera.
Menurutnya, beliau bersama Timbalan Ketua Setiausaha KASA, Dr. Ching Thoo dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Hisham Ghazali berada di Kedah hari ini bagi memantau kerja-kerja pembaikan di lokasi kejadian.
“Kami akan berusaha mempercepatkan proses perolehan bagi membaiki kerosakan sistem bekalan air, sistem saliran dan pengairan serta tebatan banjir,” katanya.
Beberapa kawasan berdekatan Gunung Jerai di Yan, ditenggelami air setinggi 1.5 meter akibat fenomena kepala air selepas hujan lebat, petang semalam.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan kejadian itu tiada kaitan dengan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana kawasan itu telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.
“Sebaliknya kejadian itu berlaku akibat fenomena kepala air yang turut membawa kayu-kayu balak berikutan arus terlalu deras,” katanya. – UTUSAN ONLINE






