JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan pemalsuan dokumen ‘Letter Of Undertaking’ menggunakan nama Tunku Mahkota Johor membabitkan urusan tukaran mata wang asing mencecah sehingga AS$5 trilion.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dokumen itu didapati dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, Polis Johor mendapat maklum terhadap perkara itu susulan menerima laporan polis yang dibuat Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor kira-kira pukul 7 petang, semalam.
“Dokumen palsu yang didakwa mendapat mandat Tunku Ismail bagi menjalankan urusan tukaran mata wang asing AS$ kepada RM yang bernilai AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.
“Hasil semakan melalui laman www.istiadat.gov.my mendapati penama yang bergelar Datuk Seri tersebut tidak berdaftar sebagai individu yang mempunyai gelaran berkenaan.
“Polis Johor sedang giat menjalankan siasatan mengesan ketiga-tiga suspek ini. Maklumat lanjut tentang kes ini masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ayob Khan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berkenaan juga merupakan suspek dalam kes penipuan draf Bank of Tokyo pada tahun 2011.
Katanya, polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai bersekongkol dalam kegiatan penipuan berkenaan.
“Urusan tersebut melibatkan penggunaan akaun Maybank atas nama seorang lelaki tempatan manakala seorang lagi lelaki tempatan yang terlibat bertindak sebagai proksi adalah peguam.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelak penipuan sebegini,” jelasnya.
Tambah beliau, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE






