PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bukan semata-mata pentas survival tiga blok politik utama di negara ini bereksperimen bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tersiratnya, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka mengakui peranan orang muda di arena politik tanah air.
Jika dahulu, pergerakan pemuda dan pemudi sinonimnya hanya dilabel sebagai ‘skuad pelapis’ semata-mata, tanpa diberi pendedahan atau tanggungjawab besar mewakili parti dalam pilihan raya.
Ledakan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun (Undi18) secara tidak langsung mengangkat peranan orang muda yang dahulunya banyak ditempatkan di ‘kerusi simpanan’, kini diberi mandat menyarung jersi barisan utama.
Perkara itu dibuktikan dalam PRN Melaka, yang mana kesemua gabungan parti bertanding mengetengahkan ikon muda sebagai taruhan.
BN mempertaruhkan Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh, seorang profesional Melayu sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.
Selaku doktor perubatan mempunyai klinik di kawasan berkenaan, beliau yang berusia 33 tahun pastinya mempunyai beberapa kelebihan berbanding calon lain.
Pengaruhnya dalam kalangan masyarakat setempat menjadi tiket untuk menewaskan dua lagi pencabar iaitu calon PH, Azrin Ab. Majid dan calon PN, Abd. Alim Shapie.
PH pula meletakkan Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Muhammad Danish Zainudin di kerusi DUN Pengkalan Batu.
Pastinya tugas pemuda berusia 25 tahun itu tidak mudah apabila perlu berhadapan dengan bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang kini bertanding atas tiket Bebas.
Jika pengaruh dijadikan sandaran kemenangan, Norhizam dilihat lebih berpeluang untuk menang di Pengkalan Batu, memandangkan beliau adalah penyandang kerusi berkenaan.
Dalam pada itu, Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Amir Fitri Muharam juga diberikan mandat oleh PN mewakili mereka di kerusi DUN Gadek.
Mohd. Amir Fitri, 34, dilihat mempunyai harapan dengan mengambil kira gerak kerja kebajikan dan populariti yang dilakukan di Parlimen Alor Gajah.
Tambahan pula, Parlimen berkenaan kini disandang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.
Beliau berdepan pertembungan enam penjuru dengan calon PH, G. Saminathan; calon BN, VP. Shanmugam; calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Laila Norinda Maon dan dua calon Bebas, Azafen serta Mohan. – UTUSAN ONLINE






