PUTRAJAYA: Jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu diwujudkan dengan syarat jawatan nombor dua dalam kepemimpinan kerajaan itu tidak menimbulkan konflik politik baharu kepada negara.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, malah, ia mestilah diwujudkan atas dasar berkepentingan rakyat tanpa ada unsur kepentingan parti dan individu pada masa depan.
Beliau menjelaskan, jawatan berkenaan harus dipersetujui secara bersama dengan gabungan parti politik yang membentuk kerajan sedia ada dan menjamin kesinambungan kepemimpinan negara.
“Dalam apa jua bentuk rombakan Kabinet, Perdana Menteri harus memastikan kestabilan keselamatan politik itu dijamin kerana kita tidak mahu apa-apa perubahan dalam portfolio kerajaan hari ini yang akan membuka ruang kepada usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada dalam segi elemen tidak percaya, bekepentingan peribadi dan parti-parti tertentu,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Nexbyte melaporkan spekulasi rombakan Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka melantik seorang Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung rombakan Kabinet, orang ramai boleh menganggap cerita tersebut sebagai khabar angin dan senarai nama yang bertebaran di platform media adalah perkara biasa, yang boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.
Justeru, beberapa penganalisis politik berpandangan rombakan Kabinet perlu dengan memansuhkan beberapa portfolio termasuk menteri kanan, sebaliknya melantik seorang Timbalan Perdana Menteri yang memiliki kredibiliti membantu Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Sosiobudaya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, rombakan Kabinet itu tidak perlu apatah lagi mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, jika perkara itu berlaku, ia sekali gus mengesahkan bahawa peranan menteri kanan tidak berfungsi memandangkan justifikasi mewujudkan portfolio menteri kanan dalam Kabinet kerajaan sekarang adalah bagi menjalankan tugas-tugas Timbalan Perdana Menteri.
“Kalau ini dilakukan, seolah seolah mengesahkan persepsi awam bahawa peranan menteri kanan itu gagal dan memerlukan jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE





