SHAH ALAM: Seorang pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan utama memperoleh rasuah berjumlah RM5,500 daripada sebuah syarikat, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Firdaus Azad Ab. Hamid, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut tiga pertuduhan utama, Firdaus yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata didakwa memperoleh rasuah berjumlah RM5,500 daripada Yip Kok Kuin iaitu Pengarah Syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan Permit Tahunan Sementara untuk syarikat itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
-
Menyorok lima jam di mahkamah elak dirakam
-
Ini baru aktor hebat, tak perlu juta-juta pengikut – Ogy Ahmad Daud
-
Lelaki diculik ditemukan mati dibunuh, mayat ditanam dibungkus kanvas
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Firdaus turut didakwa dengan tiga lagi pertuduhan meminta suapan daripada syarikat sama sebagai pembantu penguat kuasa untuk membantu mendapatkan Permit Tahunan Sementara untuk syarikat itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Firdaus yang mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 turut didakwa bagi tiga lagi pertuduhan pilihan menerima wang berjumlah RM5,500 tanpa balasan daripada syarikat yang sama sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan Permit Tahunan Sementara.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Seksyen 18, di sini antara 20 Januari 2019 sehingga 12 November 2019.
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Noryusriza Zulkifli mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan selain dua syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan separuh daripada ditawarkan pihak pendakwaan dengan alasan perlu menanggung ibu yang merupakan pesakit strok serta bapa menjalani rawatan bagi penyakit jantung.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada setiap awal bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 15 Februari depan. – UTUSAN ONLINE





