ADAKAH politik moden hanya retorik? Letak seekor haiwan, tunjuk gambar, dapat like puluhan ribu dalam TikTok boleh beli undi pilihan raya?
Bolehkah pemain-pemain TikTok mengusahakan yuran sekolah anak-anak orang susah? Atau aplikasi itu sekadar memenuhkan pelanggan dalam outlet-outlet air hipster yang harganya RM30 secawan?
Ingin sangat jadi wakil rakyat, di situ ada emaskah? Dek kerana mengejar populariti tanda like, orang yang sepatutnya dalam senarai diberi bantuan melopong tidak dibantu. Dan TikTok cuma `tersenyum’.
Esok, gelanggang pilihan raya negeri (PRN) Johor akan dibuka menerusi hari penamaan calon, sekali gus menyaksikan perebutan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh ratusan calon.
Ada memberi julukan PRN ini menyaksikan pertembungan antara politik khidmat bakti dan politik TikTok. Benarkah?
Kalau diselam dan dihadam maksudnya, barangkali begini boleh dikupas begini – bila terjadi bencana misalnya banjir atau kematian, parti politik mana yang orangnya datang dahulu hulur bantuan? Parti yang ada silent authority (pihak berkuasa senyap).
Misalnya ada orang kenamaan (VIP) menjenguk mangsa banjir dan bertanya keperluan mendesaknya waktu ini. Berus gigi? Lantas terus diarahkan kepada pihak yang mengiringi segera menyediakan? Berus gigi bukan untuk seorang tetapi ratusan dan mungkin mencecah ribuan mangsa.
Kalau agensi kerajaan mungkin tidak dapat memenuhi sepantas itu, tapi kalau diserahkan kepada orang parti berkenaan meskipun kedai ditutup di malam hari pun, masih mampu sediakan berus gigi esoknya. Sekejap kemudian datang toto atau tilam kecil ke khemah sementara mangsa.
“Tangan-tangan” daripada parti berkenaan banyak. Boleh jalan dulu (bantuan), duit kemudian kerana orang sekeliling dan masyarakatnya sudah kenal bukti khidmat bakti parti.
Ini kerana model khidmat parti itu sudah dikenali sejak berdekad lamanya. Cawangannya beribu, ada di mana-mana blok flat, bandar, pinggir bandar, Felda dan pedalaman. Ada isteri hendak bersalin, tiada siapa hendak jenguk. Harapkan jiran, sibuk belaka. Maka harapkan wanita di cawangan parti untuk duduk tengokkan anak-anak sementara dia bersalin di hospital.
Kerana itu tidak terdengar ada ahli parti berkenaan tinggalkan parti dalam tiga tahun ini. Kalau ada ketuanya yang lompat, cuma dia keluar seorang. Ahli-ahli lain tidak ikut serta.
Realitinya – bukan senang menjadi wakil rakyat. Raih ratusan ribu like barangkali boleh menang dalam kertas undi, tapi tanggungjawabnya setinggi gunung.
Kerja wakil rakyat suatu perjalanan yang panjang.
Korbankan masa, keluarga, kocek sendiri. Di situ, tiada emas, hanya tuntutan komitmen. – UTUSAN





