PETALING JAYA: Kerajaan diminta melanjutkan tarikh akhir untuk para penerima vaksin Covid-19 Sinovac mendapatkan dos penggalak sekurang-kurangnya dua bulan lagi berbanding pada 1 Mac ini.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, ini kerana kebanyakan daripada penerima vaksin Sinovac sebelum ini bimbang kesannya terhadap kesihatan diri. Terutama membabitkan penggunaan vaksin yang berbeza.
Selain itu, katanya, tambahan masa juga wajar diberi kepada mereka bagi membolehkan penerima suntikan vaksin dos premier Sinovac memilih jenama vaksin yang sama sebagai dos penggalak.
“Tarikh 1 Mac begitu hampir dan suntuk untuk mereka melengkapkan dos penggalak. Tambahan pula masih ramai yang terkesan nanti dan berdepan dengan masalah.
“Justeru pertimbangan perlu diberikan kepada mereka. Tambahan pula, mereka sememangnya telah menerima dua dos sebelum ini. Jadi untuk dos penggalak wajar beri sedikit masa kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Nexbyte, di sini semalam.
Dalam laporan eksklusif Nexbyte kelmarin, seramai 2.7 juta penerima vaksin premier Sinovac belum tampil mendapatkan dos penggalak. Ini akan menyebabkan status vaksinasi mereka bakal bertukar putih tidak lengkap atau berdepan sekatan jika gagal berbuat demikian pada 1 Mac ini.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pada tarikh berkenaan, status lengkap divaksinasi semua warga emas berusia 60 tahun ke atas. Tanpa mengira jenis vaksin dan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun berakhir sekiranya mereka belum menerima dos berkenaan.
Ini bermakna bagi mereka yang belum menerima suntikan dos tersebut, status kuning (lengkap divaksinasi) pada aplikasi MySejahtera akan bertukar putih. Sekali gus bakal dikenakan sekatan di pintu masuk. – UTUSAN





