PUTRAJAYA: Malaysia diminta membuka peluang kepada Afrika Selatan dalam mengeksport bahan makanan bagi memenuhi keperluan negara ini demi menangani krisis keselamatan makanan pada masa depan.
Ketika ini, hubungan perdagangan semasa kedua-dua negara bernilai kira-kira RM5.4 bilion dalam bidang minyak petroleum dan sawit dari Malaysia ke Afrika Selatan manakala Malaysia mengimport bijih besi dan buah-buahan dari Afrika Selatan.
Bercakap kepada Nexbyte, Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, Dave Malcomson berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Malaysia bagi tujuan itu selepas kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan permit import (AP) komoditi agromakanan tertentu.
Beliau berkata, walaupun pemansuhan itu tidak melibatkan bekalan daging atau sumber ruminan, pihaknya bersedia terlibat dalam bidang itu lebih luas tanpa kompromi protokol halal memandangkan negara berkenaan diiktiraf antara tujuh pengeluar produk halal teratas di seluruh dunia.
“Kualiti dan rasa daging lembu dan kambing Afrika Selatan terkenal di dunia begitu juga bahan segar dan produk pertanian lain. Kami adalah pengeksport sitrus kedua terbesar di dunia kerana kami menyediakan makanan berkualiti termasuk produk halal pada harga kompetitif dan berpatutan.
“Sebanyak 60 peratus daripada produk runcit kami adalah halal dan tiga daripada Badan Pensijilan Halal kami diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Malangnya, walaupun produk daging kami berkualiti tinggi, ia mengambil masa bertahun-tahun untuk dapat mengakses pasaran Malaysia.
“Pada masa ini, kami hanya mempunyai satu syarikat daging yang diperakui halal dengan hanya boleh membekalkan daging lembu sejuk beku ke Malaysia, sedangkan terdapat banyak syarikat lain yang mematuhi piawaian halal sebagaimana diperakukan negara-negara teluk dan Asia Barat selama bertahun-tahun,” katanya di sini semalam.
Mengikut rekod, hanya satu syarikat di Afrika Selatan diiktiraf kerajaan Malaysia untuk mengeksport daging berbanding Australia sebanyak 16 syarikat.
Dalam pada itu, Dave berkata, banyak lagi bidang yang boleh diterokai Malaysia-Afrika Selatan dan mengalu-alukan penyertaan Malaysia mengakses potensi besar pasaran Afrika Selatan melalui pelaburan Malaysia di Taman Halal di negara berkenaan.
Kata beliau, tindakan itu sekali gus dapat memberi perkhidmatan kepada pasaran 500 juta umat Islam di Afrika Selatan yang telah disatukan di bawah Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika.
“Masa depan keselamatan makanan dan pertanian adalah di Afrika, dengan 60 peratus tanah pertanian Afrika tersedia pada masa hadapan secara global,” katanya. – UTUSAN





