KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin menyatakan jiwanya masih dengan parti itu, sekali gus menafikan beliau mempunyai hubung kait dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bercakap kepada Nexbyte, Zuraida berkata, tiada bukti yang memperlihatkan beliau bersama dengan PBM, sebaliknya dirinya hanya menjalankan tugas sebagai menteri setelah diberi kepercayaan Perdana Menteri serta menyokong kerja-kerja yang dibuat oleh Bersatu.
“Ya, saya nafikanlah sebab tidak ada apa yang menunjukkan saya adalah anggota Parti Bangsa Malaysia.
“Saya punya pendekatan hanyalah kerja-kerja kementerian sahaja dan jiwa saya masih dengan Bersatu,” katanya ketika ditemu bual di pejabat Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Putrajaya, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Zuraida dijangka keluar Bersatu pada April ini dan menyertai PBM sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, beliau mengakui dirinya sudah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp MPT Bersatu seperti yang dilaporkan dalam Nexbyte tidak lama dahulu.
“Betullah,” katanya ringkas.
Ketika ditanya adakah beliau bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang isu melibatkan dirinya, Zuraida berkata tiada setakat ini.
“Saya hanya kerja macam biasa, tidak ada jumpa (Muhyiddin).
“Sokongan terhadap parti itu subjektif. Ada banyak lagi orang lain yang tidak membantu, kenapa saya pula yang nak dipertikaikan?
Dalam masa yang sama, beliau memberitahu, sudah tidak lagi menghadiri mesyuarat MPT Bersatu.
“Tidak (hadir mesyuarat MPT), sebab mereka sudah keluarkan saya daripada ‘group’ itu, jadi saya tidak dapat sebarang makluman lah, saya kira saya tidak dijemput.
“So far, masih lagi MPT lah, dalam rekodlah,” ujarnya lagi. – UTUSAN






