PETALING JAYA: Graduan yang menerima skrol pada tahun 2019 hingga 2021 masih bergelut untuk mendapatkan pekerjaan tetap dan terpaksa melakukan kerja sambilan yang ditawarkan demi kelangsungan hidup.
Selain kekurangan peluang kerja, kelompok itu juga perlu bersaing dengan mereka yang kehilangan kerja semasa pandemik dan juga graduan-graduan lain.
Dianggarkan antara 300,000 hingga 400,000 graduan sekurang-kurangnya memiliki diploma keluar daripada institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Mengikut statistik terbaharu, Kementerian Sumber Manusia pula, 227,300 daripada 711,000 penganggur berusia 20 ke 24 tahun dan diikuti kumpulan usia 25 ke 29 tahun yang merekodkan 160,800 penganggur.
KERJA SAMBILAN
Bercakap kepada Nexbyte, lepasan diploma automotif, Amir Zamjury, 23, berkata, gaji yang ditawarkan untuk kelulusan diploma lebih rendah daripada upah kerja sambilannya.
“Sekarang sebagai penghantar makanan sahaja boleh dapat sehingga RM3,000 sebulan, kalau ikutkan gaji minimum yang ditawarkan ikut kursus yang dipelajari paling tinggi boleh diperoleh adalah RM2,000.
“Perancangan untuk mendapatkan kerja tetap itu ada, mungkin saya akan sambung pelajaran untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi, tawaran gaji tidak berbaloi dengan kos sara hidup sekarang, buat masa sekarang saya teruskan dengan kerja ini,” katanya.
Memahami tentang kehendak semasa, graduan universiti awam tahun 2019, Azmina Nordin, 26, pekerja kontrak My-Step, mengikuti kelas kemahiran sebagai usaha mendapatkan pekerjaan tetap yang diinginkannya.
“Saya pelajar jurusan sains politik sukar mendapatkan tempat dalam bidang yang saya pelajari, sehingga kini juga saya masih menghantar resume ke beberapa syarikat untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap.
“Tidak cukup dengan Ijazah diperoleh sekarang, Saya juga ada ambil inisiatif untuk turut serta kelas tambah kemahiran di Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera bagi menambahkan kemahiran lain untuk ‘dijual’ sewaktu temuduga nanti,” katanya.
Sementara itu, graduan yang diberhentikan sewaktu pandemik, Wan Ilisiema Zakirah, 26, kini lebih selesa dengan bisnes yang dimilikinya berbanding kerja dibawah arahan majikan.
“Sewaktu pandemik, saya telah diberhentikan kerja kerana pihak syarikat tidak dapat membayar gaji pada ketika itu. Jadi saya cari merata tempat tapi ketika itu ramai yg tidak mahu mengambil pekerja.
“Alhamdulillah, sekarang saya ada bisnes sendiri dan lebih suka kerja sendiri berbanding kerja tetap, saya tidak suka terikat dengan mana mana syarikat dan lebih suka ikut masa sendiri, bagi saya kerja sendiri lebih lumayan dan berbaloi dengan hasil penat lelah,” katanya.
Dalam pada itu Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid berkata, tidak semua belia yang menganggur adalah mereka yang memilih kerja.
“Isu penggangguran ini turut berkait dengan isu padanan kerja dan isu kerja yang tidak sesuai dengan tahap kelulusan ,” katanya.
Tambah Mohd. Izzat, perkara itu juga adalah antara isu besar yang harus ditangani, iaitu isu kerja yang tidak layak dan bersesuaian dengan kelayakan belia. – UTUSAN






