PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan mekanisme penggunaan kad subsidi atau menambahkan pilihan pada aplikasi MySejahtera bagi memastikan isi rumah dapat manfaatkan barang bersubsidi seperti minyak peket.
Barangan bersubsidi seperti minyak masak sukar didapati di kedai ekoran dibeli penjaja kecil dalam jumlah yang besar selain aktiviti penyeludupan ke negara jiran.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia,Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, minyak masak peket sudah dimasukkan dalam kuota untuk setiap isi rumah namun dibeli oleh golongan lain.
“Minyak masak bersubsidi ini untuk pengguna domestik iaitu setiap isi rumah, tetapi dibeli oleh peniaga, penjaja di kaki lima dalam jumlah yang banyak.
“Di sempadan pula turut ada aktiviti penyeludupan minyak masak kerana harga subsidi kita lebih murah daripada negara jiran,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Yusof, baru-baru ini kerajaan ada mengatakan akan mewujudkan mekanisme penggunaan kad bagi mengawal penjualan minyak masak peket kepada golongan yang layak sahaja.
“Jika mekanisme itu mencapai sasaran, setiap isi rumah akan mendapat barangan subsidi, tidak ada sebarang masalah untuk meneruskan inisiatif ini yang baik untuk pengguna,” katanya.
Minyak masak botol kini tidak lagi menikmati subsidi bermula 1 Julai dan harga baharunya dijangka meningkat lebih 40 peratus.
Sementara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, kerajaan juga boleh menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan itu dengan menambah baik aplikasi itu.
“Penambahan ruangan barangan bersubsidi di dalam aplikasi tersebut pasti akan dapat menjejaki isi rumah berkenaan dan mengelak mereka membeli secara berlebih-lebihan,” katanya. – UTUSAN





