KOTA KINABALU: Ahli Parlimen dari Sabah tetap mahu isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap aset negara ini dibahaskan di Parlimen walaupun Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah memberi penjelasan dalam pertemuan tertutup kelmarin.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Fong Hin berkata, beliau masih tidak berpuas hati dengan penjelasan berhubung isu berkenaan kerana Idrus sekadar memberi kronologi tuntutan waris kumpulan Sulu.
“Apa dipersembahkan Peguam Negara cuma kronologi kes dari awal. Jadi tiada rahsia sangat, kebanyakan maklumat boleh Google.
“Kalau setakat perbahasan, apa soalan yang dilontarkan kelmarin tak lari sangat dengan apa yang akan mereka cakap kalau dibahaskan di Parlimen,” katanya ketika dihubungi.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman pula berkata, setelah mendengar taklimat semalam, beliau berpandangan masih ada keperluan untuk isu berkenaan diperdebatkan dalam Parlimen.
“Sejujurnya tidak puas hati kerana banyak persoalan yang kita suarakan tidak terjawab, mungkin sebab faktor masa. Itu sebabnya kita nyatakan perlu ada perbahasan dan sebagai ahli Parlimen, saya mahu menyatakan kepada kerajaan bahawa kita tahu had kita.
“Dalam kes seumpama ini, kita taklah bodoh selaku ahli Parlimen meminta kerajaan mendedahkan strategi kita untuk melawan tuntutan berkenaan.
“Matlamat kita adalah memberi gambaran kepada kerajaan Filipina bahawa Sabah merupakan wilayah berdaulat dalam Malaysia jadi, jangan sesekali mengganggu gugat kedaulatan kita, itu sebenarnya motif kita,” katanya.
Mohd. Azis yang juga Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) berkata, perdebatan dan perbahasan di Parlimen membolehkan negara ini menghantar mesej jelas kepada kerajaan Filipina mengenai pendirian Malaysia terhadap isu tuntutan itu.
“Apa kita inginkan adalah 222 ahli Parlimen kita tanpa mengira parti politik, bersuara secara lantang untuk memberitahu kerajaan Filipina bahawa Sabah adalah wilayah berdaulat dalam Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, tindakan membahaskan isu tuntutan tersebut tidak bermakna mereka mengiktiraf isu berkenaan.
“Namun, jika balik-balik menyatakan kita tidak mengiktiraf, itu tidak akan menyelesaikan isu ini. Maka, saya berharap mendapat reaksi positif daripada sesi taklimat semalam agar isu ini dapat dibahaskan di Parlimen,” katanya.
Semalam, satu sesi taklimat tertutup diadakan kepada anggota Parlimen berkaitan isu tuntutan kumpulan Sulu dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta ahli-ahli Parlimen. – UTUSAN






