KUANTAN: Kerajaan dicadang memperkenalkan cukai khas RM100 bagi setiap satu metrik tan minyak sawit mentah kepada pengeluar tempatan untuk menampung subsidi minyak masak kepada semua pengguna di negara ini.
Bercakap kepada Nexbyte, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, Malaysia mengeluarkan kira-kira 20 juta metrik tan minyak setahun dan jika dikenakan cukai RM100 setiap satu metrik tan, kerajaan mampu memperoleh RM2 bilion setahun.
Ketika ini katanya, subsidi diberikan kerajaan RM4 bilion dan untuk menyelesaikan isu ketirisan serta kejatuhan harga minyak sawit mentah di pasaran ketika ini, RM2 bilion tersebut sudah mencukupi.
“Cukai khas ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap semua pemain minyak sawit negara dan juga mengenang budi semua rakyat yang merupakan pengguna produk minyak kelapa sawit sejak sekian lamanya.
“YPNM percaya jika minyak masak bersubsidi diberikan kepada semua golongan masyarakat, ia akan mengekang sebarang kenaikan harga makanan oleh pengusaha gerai makanan, goreng pisang, kuih-muih, keropok mahupun restoran,” katanya..
Melalui cara itu katanya, tidak perlul lagi kerajaan memikirkan lagi untuk memperkenalkan subsidi bersasar minyak masak kerana ia pendekatan terbaik supaya tidak ada mana-mana pihak yang tercicir menikmatinya,” katanya.
Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur kekal lemah untuk sebahagian besar suku ketiga tahun ini, berlegar di antara RM4,800 hingga RM5,200.
Ia berikutan langkah terbaharu Jakarta membatalkan levi eksport untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos depan dalam usaha negara itu meningkatkan eksport komoditi dan mengurangkan inventori yang tinggi.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, Malaysia tidak dapat mengelak tekanan ke atas harga MSM memandangkan negara sedang berdepan saingan kuat Indonesia iaitu negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. – UTUSAN





