KUALA NERUS: Kerajaan negeri dicadang ‘mengorbankan’ sebahagian kawasan di Kuala Nerus dekat sini untuk dijadikan teluk secara semula jadi bagi mengurangkan kesan hakisan yang semakin kritikal di utara negeri itu.
Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, pembentukan teluk secara semula jadi itu dapat memperlahankan tenaga ombak sekali gus mengurangkan impak hakisan di kawasan pantai tersebut.
Menurut beliau, cadangan tersebut dibuat selepas beberapa pakar dari UMT, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) menjalankan kajian untuk mengatasi masalah hakisan pantai di negeri ini sebelum ini.
Katanya, kawasan yang teruk terhakis terbahagi dua iaitu selatan (Dungun dan Kemaman) serta utara (Setiu dan Besut) menyebabkan dua pendekatan berbeza perlu diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
PENYELIDIK
“Hasil kajian kumpulan penyelidik mendapati langkah terbaik adalah kerajaan ‘mengorbankan’ sebahagian kawasan pantai di Kuala Nerus menjadi teluk secara semula jadi.
“Pembentukan teluk secara semula jadi akan memperlahankan tenaga ombak di kawasan pantai serta mengurangkan impak hakisan dahsyat berulang setiap tahun,” katanya.
Dr. Effi Helmy berkata, pembinaan benteng pemecah ombak yang sering dilakukan hanya menyelesaikan masalah hakisan di kawasan terlibat sahaja.
Malah, katanya, impak pembinaan benteng pemecah ombak itu akan menyebabkan hakisan merebak ke kawasan pantai sebelah utara.
“Bersediakah kerajaan melaksanakan kerana banyak faktor perlu diperincikan termasuk kawasan mana mahu dibiarkan menjadi teluk secara semula jadi dan pemegang taruhnya,” ujarnya.
Bagaimanapun, tegas beliau, pembinaan benteng pemecah ombak masih relevan terutama di kawasan pantai di selatan Terengganu iaitu Dungun dan Kemaman berdasarkan kajian dilakukan pihaknya.- UTUSAN






