PEKAN: Tasik Chini yang mengalami kemusnahan ekosistem semula jadi akibat pembalakan dan pencerobohan hutan serta perlombongan semakin menyedihkan.
Walaupun didedahkan beberapa kali oleh beberapa pihak namun tidak nampak usaha serius dan konsisten dilaksanakan oleh pihak berwajib untuk memulihkan semula tasik kedua tersebar di negara ini.
Malah penarafan sebagai Rezab Biosfera (BR) oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009 umpama tidak bernilai apabila tasik itu tidak cuba dipulihkan.
Bercakap kepada Nexbyte satu sumber berkata, keadaan terkini Tasik Chini semakin menyedihkan kerana pusat menyimpan pelbagai khazanah dan lokasi tumpuan pelancong itu terus tidak `bernyawa’.
Menurut beliau, contoh Lake Chini Resort yang terletak kira-kira 0.18 meter dari Tasik Chini terus dibiarkan tidak terurus sejak ditutup pada 2019 dan kini seperti resort berhantu.
“Difahamkan sebanyak RM10 juta sudah disalurkan untuk membaik pulih Lake Chini Resort setelah lokasi itu ditutup dan mengalami kerosakan.
DIMILIKI
“Namun tidak diketahui apa jadi dengan RM10 juta itu. Resort tersebut dahulunya dimiliki Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA),” katanya semalam.
Kata sumber itu lagi, keadaan pintu gerbang bernilai RM1 juta di Lake Chini Resort juga sudah dinaiki pokok menjalar.
“Begitu juga Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bersebelahan resort itu, ia juga dibiarkan begitu sahaja. Dahulu ada pihak hendak ambil alih lokasi terbabit tapi tidak dibenarkan.
“Dua lokasi terbabit terletak dalam kawasan Tasik Chini Rezab Biosfera. Siapa yang memantau dan kenapa boleh jadi begini (terus dibiarkan terbiar)?” soalnya.
Kata sumber, kawasan lombong berdekatan tasik masih terdedah kepada hakisan dan tidak tahu apa perancangan pihak berwajib bagi mengatasinya.
“Jika ada perancangan, bila rancangan akan dimulakan?” tanya sumber tersebut.
Pada Ogos tahun lalu, Tok Batin Kampung Gumum di Tasik Chini, Awang Alok dilaporkan berkata, kesan pencemaran di tasik legenda itu seolah-olah tidak terkawal sehingga menjejaskan kehidupan komuniti Orang Asli di situ.
UNESCO
Awang ketika bercakap kepada Nexbyte berkata, pengiktirafan UNESCO tidak mengubah nasib malang yang menimpa Tasik Chini apabila hutan di persekitarannya terus ditarah sehingga memusnahkan ekosistem dan menjadikan ia ‘tasik mati’.
Sebelum itu, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah dilaporkan berkata, tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun diperlukan untuk pemulihan semula rezab/biosfera di Tasik Chini yang musnah akibat pencemaran dan aktiviti perlombongan di situ.
Azizan berkata, tempoh itu tidak lama tetapi langkah pemuliharaan hutan dan biodiversiti itu perlu dilaksanakan segera.
Tasik Chini diiktiraf sebagai Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Julai 2009. Pada 2014, Banjaran Crocker di Sabah pula disenaraikan sebagai tapak rizab biosfera kedua Malaysia.
Terdapat lima lagi lokasi yang diiktiraf UNESCO iaitu Taman Negara Mulu di Sarawak (2000), Taman Negara Kinabalu di Sabah (2000), Bandaraya Melaka di Melaka (2008), George Town di Pulau Pinang (2008) dan Lembah Lenggong di Perak (2012).- UTUSAN






