SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin berkata keputusan dibuat berikutan mahu memberi tumpuan penuh untuk berkhidmat di kawasan Parlimennya itu.
“Saya doakan rakan-rakan supaya menang pada PRN nanti, saya tidak akan bertanding lagi pada PRN, maknanya Gemencheh (kerusi) kosong,” katanya ketika berucap pada sesi penangguhan Persidangan Kelima Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.
Persidangan sehari itu merupakan persidangan terakhir sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan yang dijangka pada awal Jun hadapan.
Mohd. Isam pada masa yang sama turut mengucapkan tahniah dan terima kasih atas perkhidmatan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri selama lima tahun ini.
“Sejujurnya kerajaan negeri (pada penggal ke-14) ini telah melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik sekali. Tahniah kepada yang berhormat dan barisan exco dan ADUN yang bertugas
“Saya yakin dan percaya kerajaan ini akan terus kekal Kerajaan Perpaduan pada penggal akan datang, Insya-Allah,” katanya.
Mohd. Isam, 54, menjadi ADUN Gemencheh mewakili Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2013 dan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang laluan beliau memenangi kerusi Parlimen Tampin yang merupakan kali pertama ditandinginya.
Sementara itu, ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan yang bangun mencelah ucapan Mohd. Isam turut memberikan bayangan tidak mempertahankan kerusinya itu.
“Jika ini ucapan terakhir saya sebagai ADUN, saya ingin ucapkan terima kasih. Kita bina perhubungan yang cukup baik antara semua wakil rakyat dan isu-isu dikemukakan kerajaan dapat dibincang dengan baik,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah.
Sementara itu, menyatakan perasaan yang sama ialah ADUN Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli.
“Terima kasih tuan speaker kerana memberi laluan, ini mungkin yang terakhir bagi saya. Alhamdulillah bak kata orang, orang berbudi kita berbahasa. Saya disini sejak tahun 2008 dan sudah tiga penggal, ramai rakan saya di sini dan mungkin ini yang terakhir bagi saya dan (kini) saya diamanahkan selaku Ahli Parlimen Jempol,” katanya.-UTUSAN.






