BAYAN LEPAS: Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di pentas Perikatan Nasional (PN) di Kelantan malam semalam lebih kepada pertemuan bersama kumpulan yang beremosi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, ini kerana Dr. Mahathir tidak menyentuh langsung mengenai soal hutang negara dan hanya menyebut mengenai Anwar.
”Jadi saya yakin sebenarnya rakyat boleh menilai apabila Dr. Mahathir hadir di atas pentas Pas dan Bersatu, ia lebih kepada pertemuan geng-geng emosi,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Rafizi menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (SLU KSP RMKe-12) bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang turut disertai Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Semalam, Dr. Mahathir yang tampil berceramah di pentas PN di Kelantan menyeru rakyat untuk bersama-sama menolak Kerajaan Perpaduan yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang gagal.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau tidak akan sesekali terheret dengan permainan emosi seperti yang dilakukan Dr. Mahathir memandangkan fokus utama beliau dan Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah untuk membantu rakyat.
“Pilihan raya ini adalah medan terbaik untuk kita membandingkan soal dasar, program dan persaingan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan negara,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin rakyat akan membuat pilihan berdasarkan pengalaman lepas memandangkan rakyat pernah melihat sendiri bagaimana hubungan Dr. Mahathir dengan Pas dan Bersatu.
”Ada yang mungkin suka melihat dan ada pengundi yang mungkin mempersoalkan apa yang sudah jadi dengan prinsip dan pendirian masing masing,” katanya. – UTUSAN






