KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mempersoal Perikatan Nasional (PN) sebab tidak memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya semasa mentadbir kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembangkang hanya ‘meratib’ isu pendakwaan terpilih hanya apabila mereka berada di kerusi pembangkang di Dewan Rakyat, namun tidak berbuat apa-apa apabila menjadi kerajaan.
Disebabkan itu, kata Azalina, kerajaan ketika ini melakukan tindakan yang konsisten dengan prinsip untuk merealisasi tuntutan banyak pihak bagi memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Mengapa semasa Yang Berhormat (YB) jadi kerajaan dahulu tidak mahu pisahkan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, bila YB kena (tuduh), (terus kata)…oh pendakwaan terpilih.
“Itu sebabnya dalam isu ini, kami cakap kami buat. YB di sana, bukan sahaja tidak buat, cakap pun tidak. Berkuasa empat tahun, kami tunggu. Saya pernah duduk situ (kerusi pembangkang dahulu), saya tegur dan duduk di backbencher. Jadi, macam mana ini?
“Jangan cakap tentang pendakwaan terpilih, sebab kerajaan Madani komited kepada tatakelola yang lebih adil. Itu sebab prinsip kami, we walk the talk, mereka, they not walk or dont talk (tidak berjalan atau tidak bercakap,” katanya semasa sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab beberapa pertikaian daripada pembangkang diketuai Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengenai kes pendakwaan terpilih terhadap pemimpin penbangkang.
Beliau mengambil contoh tindakan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dikatakan menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga berdepan pendakwaan di mahkamah.
Katanya, kerajaan tidak boleh melakukan pendakwaan secara terpilih terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang jika tindakan itu juga dilakukan oleh pemimpin dalam kalangan kerajaan, namun isu tersebut didiamkan tanpa tindakan lanjut.
“Kami didakwa melakukan rasuah, tetapi ada penyiasatan Menteri Sumber Manusia kes didiamkan. Jadi, elemen ini penting untuk kerajaan menentukan melakukan tugas menyifarkan kes rasuah dalam negara.
“Pendakwaan terpilih seolah-olah undang-undang hanya ditumpukan kepada kami, sedangkan di sebelah sana, walaupun ada kes, tetapi kebal walhal tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang.
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut membangkitkan isu pendakwaan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah yang merupakan contoh paling dekat sebagai pendakwaan terpilih.
“Dari awal lagi kita tahu tiada kes langsung. Mengapa beliau dituduh, seolah-olah ia hanya untuk opitik politik semata-mata. Sebab itu, bila lawan di mahkamah, terbukti mahkamah setuju dengan pendapat ini sesuatu yang tidak patut dibawa.
“Ini satu penganiayaan, seolah-olah kerajaan buat sesuatu (pertuduhan) semberonoh sahaja. Seolah-olah kerajaan tidak teliti ketika menjalankan tugas,” katanya. -UTUSAN






