PETALING JAYA: Pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh dilaksanakan selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak diberi kuasa melalui pembatalan Akta Kerajaan Tempatan 1960 atau pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Bercakap kepada Nexbyte, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Akta Kerajaan Tempatan 1976 perlu dipinda untuk menyediakan peruntukan yang memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya tersebut.
“Selain itu, Akta Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 473) juga perlu terlebih dahulu dibatal atau dibuat pindaan bersesuaian dengan pindaan yang telah dimasukkan ke dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976. Selagi Akta itu tidak dipinda, pilihan raya PBT tidak dapat dibuat,” katanya.
DEMOGRAFI
Namun, jelas Wan Ahmad, pilihan raya PBT tidak sesuai diwujudkan semula dalam negara ekoran taburan demografi penduduk dan pengundi dalam kawasan PBT seluruh negara amat tidak seimbang.
Justeru, katanya, pilihan raya PBT lebih banyak menjurus kepada perwakilan mengikut kaum yang tidak adil dan tidak seimbang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana parti politik jangan terlalu obses dengan gesaan untuk diadakan kembali pilihan raya PBT yang hanya mendatangkan mudarat kepada keharmonian rakyat dan kestabilan politik negara.
“Apa salahnya dengan sistem pelantikan para kepemimpinan PBT seperti yang diamalkan sekarang? Datuk-datuk Bandar PBT dilantik oleh YDP Agong, ahli-ahli perwakilan dalam PBT dilantik oleh pihak kerajaan yang memerintah. Mereka mewakili parti-parti yang menang dalam pilihan raya,” ujarnya.
Selain itu, katanya, anggota-anggota kanan penjawat awam yang dilantik selaku Datuk Bandar adalah terdiri mereka yang berpengalaman dalam urusan pentadbiran dan pengurusan kawasan bandar masing-masing.
BERPENGALAMAN
Jelasnya, PBT sekarang seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semua diuruskan oleh para pegawai yang berpengalaman, bersikap berkecuali dan tiada sentimen kepentingan politik parti apabila membuat keputusan.
“Suasana berpolitik di negara kita sudah terlalu tegang dan bercakaran dalam kalangan parti-parti politik yang ada sekarang.
“Jika ada pilihan raya PBT, rakyat berterusan dengan kempen politik untuk menang 222 kawasan Parlimen dan 587 kawasan DUN seluruh negara.
“Bayangkan kalau 150 PBT terdedah dengan proses kempen merebut jawatan, suhu politik meningkat dan rakyat tidak harmoni. Kestabilan politik terganggu menjejaskan kestabilan ekonomi dan kemajuan negara,’’ kata beliau.
Wan Ahmad berkata, selain itu, kos mengadakan pilihan raya juga perlu diambil kira kerana ia akan ditanggung oleh pembayar cukai.
“Pilihan raya PBT itu perlu ditanggung oleh kerajaan negeri dari wang rakyat dan bukannya duit kerajaan negeri. Negeri-negeri yang miskin terpaksa berhutang atau tiada peruntukan,” katanya. – UTUSAN





