PEKAN: Empat laporan polis dibuat peserta Felcra Sri Makmur di sini bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pihak bertanggungjawab yang didakwa mengakibatkan 687 peserta Felcra terbabit tidak memperoleh dividen atau interim sejak kira-kira setahun lalu.
Peserta terbabit mendakwa, mereka tidak menerima dividen atau bayaran interim sejak hasil buah tandan segar (BTS) di situ yang sebelum ini dijual kepada pihak Felcra sudah bertukar tangan dan dijual kepada pihak luar.
Berdasarkan kertas laporan polis yang dibuat di Balai Polis Paloh Hinai di sini, hari ini, peserta terlibat menamakan dua individu serta seorang pengurus syarikat yang didakwa terlibat urusan jual beli BTS yang berjalan selama lapan bulan bermula Jun tahun lalu sehingga Februari lalu.
Peserta terbabit turut membuat laporan terhadap pihak pengurusan Felcra Sri Makmur yang didakwa gagal menghalang atau memberhentikan penjualan BTS kepada pihak luar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felcra Sri Makmur, Umar Kassim, 68, berkata, laporan polis itu mewakili peserta di empat peringkat iaitu peringkat satu, dua, tiga dan Felcra Bukit Sijau.
“Dulu memang persetujuan kita semua peserta untuk mengalih jualan ini kepada syarikat luar kerana ketika itu Felcra membeli buah dengan perahan yang rendah. Kami mahu perahan yang lebih untuk dapat bayaran lebih. Apabila sampai di pertengahan jalan, jualan ini jadi lain, ia berbeza. Tidak tahu di mana silapnya.
“Saya masih ingat pada 2022, kami mendapat hasil hampir RM20,000 dalam setahun dengan tiga kali dividen termasuk interim pada April, Ogos dan Disember. Namun sejak ia dijual kepada syarikat luar, sehingga kini kami masih belum menerima sebarang bayaran,” katanya di sini hari ini.
Peserta Felcra peringkat tiga, Mohammad Sohaimi Mahussin, 66, pula berkata, apabila pihak luar membeli buah dari Felcra Sri Makmur, didapati sehingga kini masih belum membuat bayaran habis kepada pihak Felcra.
“Disebabkan itu kami peserta tidak menerima sebarang bayaran yang sepatutnya diterima dari pihak Felcra. Pihak kami berharap sekiranya berlaku. penyelewengan dalam hal ini, akan ada tindakan sewajarnya dilakukan secara telus dan tidak memilih bulu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, laporan polis terbabit juga sebagai menyatakan kesusahan yang dihadapi peserta terlibat tambahan pula dalam menyambut bulan Ramadan dan bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kami perlukan pendahuluan daripada pihak Felcra kalau boleh dalam RM5,000 ke RM6,000 untuk membantu kami menjalani ibadah puasa dan melakukan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Harap pihak Felcra dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera atau kami bawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Seorang lagi peserta peringkat tiga, Rofiza Ibrahim, 48, berkata, kebiasaanya peserta akan menerima bayaran sebelum puasa setiap tahun namun berbeza pada tahun ini.
“Semua begitu mengharapkan duit tersebut. Tahun ini masih belum buat persiapan raya lagi kerana mengharapkan duit dari pihak Felcra,” katanya. – UTUSAN






