KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi 2025 iaitu tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Jumlah agihan itu melibatkan RM524.75 juta iaitu melebihi RM10.55 juta berbanding 2024 dan menjadikan ia jumlah agihan dividen tertinggi sejak 2018.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LTAT berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil walaupun berdepan cabaran ekonomi global apabila merekodkan jumlah pendapatan boleh diagihkan sebanyak RM541.5 juta dan jumlah pendapatan pelaburan RM749.5 juta.
Beliau berkata, dana rizab LTAT turut menunjukkan peningkatan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.0 bilion tahun sebelumnya sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan lembaga itu yang makin diperkukuh demi kepentingan pencarum.
“Kejayaan transformasi LTAT tahun ini membolehkan kita mengumumkan kadar dividen yang mampan dan lebih kompetitif.
“Ia bukan sahaja simbol kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju LTAT, tetapi ia juga bukti bahawa setiap usaha transformasi yang dijalankan bertujuan untuk memberikan impak yang langsung dan nyata kepada pencarum.
“Saya amat yakin pengumuman ini membawa berita gembira kepada semua pencarum, sekali gus memperkukuh keyakinan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluncurkan Majlis Pengumuman Dividen LTAT di Royale Chulan, di sini semalam.
Mohamed Khaled berkata, LTAT terus memperkukuh portfolio pelaburannya dengan setiap pelaburan diteliti dengan rapi, kelemahan dibaiki dan tadbir urus syarikat-syarikat diperkukuh.
“Contohnya, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM8.7 juta bagi suku keempat 2025, satu peningkatan daripada RM2.4 juta pada tahun sebelumnya, menandakan suku kelapan berturut-turut mencatatkan keuntungan.
“Alhamdulillah, saya turut dimaklumkan bahawa Pharmaniaga kini berada di landasan yang baik untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan keberkesanan usaha pemulihan dan pemantauan LTAT.
“Untuk itu, saya ucapkan tahniah kepada LTAT dan Pharmaniaga atas pencapaian gemilang ini.
“Saya percaya LTAT sedang melaksanakan transformasi merentasi syarikat-syarikat bagi memperkukuh prestasi, meningkatkan daya saing serta mencipta nilai yang lebih besar kepada pencarum,” katanya. – UTUSAN






