KUALA LUMPUR: Kerjasama UMNO Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir pasti apabila didakwa kedua-dua pemimpin tertinggi itu sudah beberapa kali mengadakan perbincangan ke arah kerjasama itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan, siri pertemuan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sangat positif.
Bagaimanapun, menurut beliau, sebarang keputusan mengenai kerjasama itu akan diumumkan menerusi kenyataan rasmi sebaik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Respons Presiden setakat ini positif, presiden ada minta kita buat kajian dan perbincangan secara menyeluruh dengan mana-mana parti yang berminat untuk bekerjasama dengan kita.
“Mengenai pertemuan Presiden UMNO dan Datuk Seri Shafie itu ada… dengan saya sekali, selepas itu ada lagi saya rasa antara mereka. Antara saya dengan Shafie, sehingga hari ini kita masih berhubung melalui telefon, di Dewan Rakyat. Ingin saya jelaskan, keputusan muktamad kita akan buat bila pembubaran DUN,” katanya ketika ditemui semalam.
Selain itu, Bung berkata, kerjasama UMNO-Warisan tidak boleh dibuat di peringkat atasan sahaja sebaliknya perlu di semua peringkat bagi memastikan akar umbi turut memahami strategi yang dirancangkan untuk menawan PRN.
KEMENANGAN
Katanya, langkah ini juga dibuat bagi memastikan kemenangan pada PRN kali ini dan beliau menjangkakan tidak ada mana-mana parti yang bergerak solo mampu menang dan membentuk sebuah kerajaan.
“Perbincangan di peringkat bawah dan atas sudah banyak kali, cuma kita belum merasakan yang UMNO tidak boleh pergi secara solo. Kita melihat mutakhir ini hampir seluruh negara tidak ada parti yang boleh menang secara menyeluruh. Pilihan Raya Umum ke-16 sudah berlaku trend ini dan ia terlalu berbeza dengan yang dulu, tidak ada parti dominan.
“Jadi UMNO Sabah perlu ada satu parti lain iaitu bergabung, tetapi dalam masa sama kita akan terus buat penilaian dan kajian sebab kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Sebelum pilihan raya semua dipersetujui, dalam kempen dikhianati, selepas menang..khianati lagi. Kita akan pastikan bahawa parti yang bergabung benar-benar ikhlas dalam membuat perjanjian,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Presiden Warisan turut memaklumkan yang pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan UMNO demi kepentingan rakyat di Sabah.
Katanya, kesediaan itu berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menganggotai UMNO selama 29 tahun sebelum digantung keahlian pada Julai 2016 dan meninggalkan parti itu 10 hari kemudian.
Sabah dijadual mengadakan PRN pada 2025 walaupun terdapat jangkaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mungkin mengadakan pilihan raya dalam tahun ini. – UTUSAN



