MUKADIMAH
HANYA tinggal setahun sahaja lagi sebelum Sabah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membentuk kerajaan baharu selepas diancam dengan ketidakstabilan politik. Ini terutama akibat peristiwa yang dipanggil Langkah Kinabalu tahun lalu.
PRN nanti dijangka menoktahkan segala kemelut politik Sabah yang berlarutan sejak kerajaan negeri itu diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Walaupun pentadbiran dan keabsahannya dipertikai beberapa pihak termasuk parti pembangkang iaitu Warisan di Sabah, GRS tidak ambil peduli.
Dalam pertemuan Nexbyte dengan DATUK SERI MOHD. SHAFIE APDAL di ibu negara Khamis lalu, Ketua Pembangkang Sabah dan Presiden Warisan itu bercakap panjang lebar tentang keperluan penduduk Sabah sambil menempelak slogan Sabah Maju Jaya. Berikut luahan beliau kepada wartawan ZULKIFLI JALIL DAN OMAR ZIN serta jurufoto, FARIZWAN HASBULLAH.
Datuk Seri lantang mengkritik pentadbiran kerajaan negeri Sabah. Apa yang Warisan tidak puas hati?
Mohd. Shafie: Hala tuju mereka, dasar mereka. Terutamanya perkara asas seperti bekalan air, bekalan elektrik, hospital dan sekolah. Jangan cerita pelaburan RM100 bilion, ia memang sedap didengar.
Pekerja-pekerja di Sabah perlu bekalan air, bekalan elektrik, jalan raya yang baik, sistem pengangkutan yang baik tapi ke mana pelaburan itu?
Kalau jalan raya rosak, pengangkutan awam pun tidak ada, macam mana pihak pengurusan pentadbiran negeri boleh kata Sabah Maju Jaya? Fikir tentang rakyat di bawah.
Adakah masalah keperluan asas ini berlaku sejak kerajaan negeri diterajui Warisan pada 2018?
Saya jadi ketua menteri hanya dua tahun 141 hari. Waktu itu, Covid-19. Sekatan pergerakan. Mana ada pelabur datang, pelancong tak boleh masuk, bukan kita boleh samakan dengan kerajaan sekarang.
Tapi dia kata dia tidak gagal, ini salah Warisan. Kamu dah perintah tiga tahun lebih, nak masuk empat tahun. Mengapa salahkan orang lain kalau kamu itu kerajaan sekarang?
Kalau kamu bertanggungjawab, sepatutnya kalau bekalan air tidak cukup, takkan tidak nampak macam mana tayar kalau tidak ada bunga.
Tayar jangan sampai tunggu dia meletup, pancit ke apa ke, dah tahu tayar macam mana, kereta macam mana, kalau berkarat tukarlah, buat penyelenggaraan.
Kalau bangunan nampak dah uzur, kamu patut tahu sebagai kerajaan, jangan salahkan orang lain. Kalau kamu salahkan orang lain atas kegagalan kamu sendiri, apa yang kita boleh buat?
Apa gunanya salahkan orang lain, rakyat yang merana bukannya salah saya pula kalau kamu tidak ada bekalan air.
Mengapa keperluan asas masih jadi masalah di Sabah?
Kerana kerajaan negeri gagal, boleh nampak. Pakailah logik, tengok betul-betul keperluan rakyat.
Kalau rakyat perlukan bantuan, cari jalan macam mana nak bantu. Jangan mencuri. Apa yang diperlukan untuk cari rezeki, kita bantu. Mesti ada jalan, takkan tidak ada jalan.
LIMPAHAN KALIMANTAN
Apa impaknya terhadap Sabah apabila Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan?
Memang bagus. Saya sudah buat lawatan ke sana bila jadi ketua menteri dulu. Saya jumpa gabenor Kalimantan Utara dan Selatan. Saya nak ikat kerjasama, melihat apa keperluan dan keupayaan.
Saya pergi ke Kalimantan Utara, saya nampak 10 kedai, kedai runcit dia, ada barangan banyak, saya tanya dari mana dia dapat, katanya dari Tawau.
Jadi, sebenarnya kita sebagai negara jiran perlu memastikan dapat jalinkan kerjasama. Mungkin ada peniaga daripada Kalimantan, kita kena kenal pasti macam mana kita boleh benarkan berniaga, daripada dia menyeludup pakai tangki biru atau gas silinder kerana subsidi barang-barang.
Ikatan persaudaraan memang ada, kita adakan perniagaan. Joint venture, wujudkan usahawan Melayu Sabah dan Kalimantan, itu boleh dibuat dan itu antara fokus saya.
Menjadikah Warisan-Umno?
Sudah di peringkat mana kerjasama antara Warisan dan UMNO?
Warisan sudah ada perbincangan dan sudah maklumkan kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO, tidak jadi masalah nak bekerjasama di peringkat negeri Sabah.
Yang penting, kepentingan Sabah jadi keutamaan, hala tuju dan kerjasama itu ada. Kita sedar dan tahu banyak perkara tidak dapat dijalankan sama ada ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jadi, kita sudah ada usaha, kita sudah bincang mengenai kerusi tapi belum dimuktamadkan lagi. Jawatan ketua menteri pun belum bincang lagi.
Yang penting nak menang. Bukanlah saya nak cakap kalau letak saya akan senang menang tapi rakyat akan buat pertimbangan. Siapa pemimpin yang boleh diketengahkan untuk menambat hati rakyat.
Ini bukan soal orang Melayu tetapi juga orang Cina, orang Kadazan-Dusun. Dia nampak seorang Muslim yang moden, ada pengalaman dan pengetahuan serta bekas ketua menteri, contohnya.
Dalam pengalaman dulu, bila bergabung dengan Pakatan Harapan (PH), 29 kerusi Warisan menang, UMNO menang 14 kerusi, GRS 11 kerusi, Parti Bersatu Sabah (7), Star (6). Kalau boleh menang banyak, takkan tidak bolehkan (PRN akan datang)? Rakyat sudah tahu, rakyat sudah biasa dan yakin keadaan ini.
Bagaimana masa depan politik di negara ini?
Esok-esok pun saya akan pencen, tapi saya ada cucu lapan, ada di Muar, Klang, Kelantan dan Sarawak. Takkan saya tidak fikirkan anak cucu saya ini.
Nak berpolitik apa lagi, cukuplah. Fikirkan generasi masa depan, jangan fikirkan pasal diri sendiri. Pemimpin mesti memikirkan generasi masa depan. Itu sangat penting.
Kalau kita bercerita tentang hanya pentingkan parti kita, kepentingan diri kita, kita akan kalah. Kita semua nak berebut kerusi pasal apa.
Ada kata nak jadi tuan Melayu. Bukan orang tidak tahu kita ini majoriti di negara ini. Kita ada perlembagaan dan kedudukan Bumiputera, kedudukan Islam tidak ada siapa boleh persoal tapi masalahnya kamu perlu pastikan kepentingan semua, bantu juga Cina dan India dan lain-lain.
Sultan Sulu sudah tiada
Mengapa isu tuntutan Sulu terhadap Sabah masih belum selesai dan terbaharu dari United Tausug Citizens?
Sudah lama saya beritahu, heret mereka ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tapi mereka tidak mahu dengar. Apa lagi kita boleh buat.
Dia tidak ada bukti dan tidak ada hak. Memanglah kita ada hak tapi dia cakap dia pun ada hak. Macam mana kita nak buktikan?
Macam dulu, dalam kes pulau Ligitan dan Sipadan, Indonesia tuntut, kita bawa ke ICJ. Apa susah? Kita ada bukti-bukti, lepas itu Indonesia tidak lagi menuntut.
Kalau mahkamah antarabangsa menyatakan Sipadan dan Ligitan sebagai sebahagian daripada Malaysia, apa pula Sultan Sulu ini?
Itu ICJ. Masa British pada 1940an tidak pula ada tuntutannya, British punya koloni, jajahan British. Sejak bila pula ada pegawai daerah di Semporna dari Manila ke Filipina ke, dia cakap dia punya hak? Bila pula ada? Dari Lahad Datu ada yang tuntut ke?
Kalau kita bawa ke mahkamah, ia akan berasaskan fakta, yang membawa kepada keputusan bahawa ini bukan hak mereka, ini hak kita. Sabah sebahagian dari Malaysia. Itu yang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) penting supaya asasnya kita perkuatkan.
Ini bukannya keistimewaan, ini hak rakyat Malaysia Sabah dalam perlembagaan dan perjanjian. Jadi, sebab itu kita perlu cari jalan bagaimana tuntutan ini boleh dimatikan.
Sultan Sulu sudah tidak ada dah, mana ada dia punya jajahan dah. Tidak ada pun Sultan Sulu sebelum ini minta wilayah dia, tidak ada. Kerajaan Filipina pun tidak iktiraf, kalau dia tidak iktiraf Kesultanan Sulu di Mindanao, apa lagi Malaysia pula? Asas apa dia bawa pergi ke mahkamah?
Kita ada fakta, kita lawan dia. Asas apa dia? Cobbold Commission ada. Pungutan suara rakyat Malaysia di Sabah setuju, kita bentuk Malaysia bersama.
Macam Ukraine, ini nak jadi jajahan Russia. Ukraine sudah jadi negara merdeka.
Labuan sepatutnya jadi…

Apa masalah pembangunan di Labuan?
Labuan sepatutnya menjadi hab kewangan antarabangsa, tetapi dia tidak menjadi, sebab itu mati Labuan itu.
Labuan boleh jadi hab kewangan dan tempat simpan duit yang lebih dekat dengan orang Kalimantan. Kalau naik kapal terbang ke Labuan, tidak sampai setengah jam, dari Kalimantan 15 minit sahaja.
Kebaikan yang kita peroleh dari Sabah bukan untuk kepentingan Sabah sahaja, ia juga untuk negara, membantu negara. Labuan ini wilayah persekutuan.
Ini soal pemikiran membina negara, kita tidak mengimbangi pembangunan, pasal itu ada negeri tidak seimbang pembangunan. Kalau nak salahkan orang lain, kesian orang Kelantan dan Terengganu.
Ini soal keutamaan kerajaan dan mindset. Tetapi ia tidak boleh dengan guna slogan, Sabah Maju Jaya, tidak boleh. Mana ada maju, air tak ada. Jalan berlubang. Kalau kereta boleh bercakap, dia kata kakinya sudah patah, pinggang sakit. Kalau jalan raya boleh bercakap, dia kata dia punya kepala berlubang bertahun-tahun.
PERKARA 6 (7)
Sebab apa Datuk Seri membantah tindakan kerajaan negeri memansuhkan Perkara 6 (7) Perlembagaan Sabah?
Ia merupakan satu artikel memberi panduan yang kepada Tuan Yang Terutama (TYT) tentang kuasa dalam Perkara 6 (3). TYT boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang mempunyai majoriti dalam satu pilihan raya. Kuasa itu dia sebut, majoriti mana-mana parti beri kuasa kepada TYT melantik ketua menteri.
Tapi Perkara 6(7) ini dia bagi panduan pada parti yang bertanding dalam pilihan raya dan ketua parti yang mendapat majoriti maka ketua parti sepatutnya menjadi ketua menteri.
GRS ini tidak bertanding pun kerana pilihan raya tahun 2020. GRS tahun 2022 baru didaftar. Mana ada dalam dunia sistem dia katakan (apa yang dilakukan) ini demokratik. Amat jelas mana ada parti yang sedang memerintah Sabah adalah parti yang tidak pernah bertanding.
Pasal itu dalam Perkara 6(7) ada panduan, tapi pasal apa dia mansuhkan? Sebab kalau saya heret pergi mahkamah memang dia kalah, kerajaan boleh jatuh. Tapi dia mansuhkan, bila dia mansuhkan patutnya TYT buat macam Agong, apabila Parlimen tergantung. Sepatutnya kalau ikut panduan akta itu, TYT patut panggil saya ke istana, parti jumlah banyak boleh bentuk kerajaan.
Macam Agong, baginda panggil Anwar, panggil Muhyiddin. Kalau tak boleh bentuk kerajaan, boleh bentuk kerajaan perpaduan. Yang Sabah ini kerajaan apa? – UTUSAN






