KUANTAN: MCA dan MIC diharap mempertimbangkan semula keengganan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia perlu dilakukan agar kemenangan PRK pada 11 Mei ini terus kekal milik kerajaan Perpaduan yang menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
“Saya mengambil maklum tentang keengganan MCA dan MIC untuk turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu sekiranya kerusi DUN itu tidak ditandingi oleh calon daripada BN.
“Saya menghormati keputusan kedua-dua parti tersebut, tetapi sebagai rakan kerjasama politik dalam kerajaan Perpaduan, kita juga harus menerima apa jua keputusan untuk meletakkan siapa calon sesuai bertanding di kerusi tersebut.
“Dalam meraikan politik baharu yang lebih matang terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti komponen BN termasuk UMNO sekalipun harus menerima perubahan ini kerana kita telah bersetuju bersama dalam pembentukan kerajaan Perpaduan,” katanya di sini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar berkata, formula kerjasama ini sudah memberikan peluang lebih baik seperti mana kemenangan dicapai oleh BN ketika PRK Pelangai dan juga Tioman.
“Saya juga melihat keengganan MCA dan MIC untuk memberi kerjasama tidak mendatangkan kebaikan kepada parti tersebut, sebaliknya tindakan itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat yang diwakili,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
MIC sebelum ini turut membuat keputusan sama dengan alasan serupa.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu depan sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini. – UTUSAN






